Dua minggu lalu dunia sains dikejutkan apabila penyelidik dari Pusat Penyelidikan Tenaga Kuantum Korea Selatan menerbitkan kertas kajian yang mendakwa mereka berjaya menghasilkan superkonduktor suhu bilik. Bahan yang diberi nama LK-99 menurut penyelidik menunjukkan sifar rintangan pada suhu bilik yang selama ini dianggap sebagai mustahil oleh komuniti sains.
Kerana dakwaan ini boleh merubah dunia sains khususnya dalam penghasilan peranti elektronik, pengkomputeran kuantum serta sumber tenaga lestari, ramai inginkan LK-99 benar-benar adalah superkonduktor suhu bilik seperti didakwa.
Persatuan Superkonduktiviti dan Kriogenik Korea (KSSC) menubuhkan jawatankuasa penyiasatan dengan ia diketuai oleh pakar Kim Changyoung dari Universiti Kebangsaan Seoul. Pusat Penyelidikan Tenaga Kuantum Korea Selatan mengatakan sampel LK-99 yang dihasilkan oleh mereka kini sedang dikaji bagi tujuan mengesahkan kertas kajian yang diterbitkan oleh mereka.
Selepas itu sampel ini akan diserahkan kepada jawatankuasa siasatan yang kemudiannya akan mengambil antara dua ke empat minggu lagi untuk melakukan pengesahan mereka sendiri.
Sejak diumumkan dua minggu lalu, terdapat lebih 17 eksperimen dilakukan oleh pelbagai makmal saintifik dan universiti bagi menghasilkan sendiri LK-99. Setakat ini majoriti ujian yang dilakukan gagal membuktikan dakwaan LK-99 adalah superkonduktor suhu bilik seperti didakwa.
Isu dengan superkonduktor semasa ialah rintangan sifar apabila arus elektrik dialirkan hanya boleh dicapai pada suhu -100 darjah Celsius atau pada tekanan yang amat tinggi. Sistem penyejukan yang kompleks membuatkan peranti elektronik dengan superkonduktor bersaiz besar. Superkonduktor suhu bilik boleh merealisasikan impian mesin MRI sebesar beg galas, penghantaran tenaga elektrik tanpa pembaziran dan kereta elektrik yang jauh lebih efisien.