16shop menawarkan perkhidmatan phishing-sebagai-perkhidmatan (Paas) yang berpangkalan di Indonesia. Minggu ini, Interpol mengumumkan kejayaan melumpuhkan operasi 16shop dengan kerjasama Group-IB. Tiga individu kini ditahan kerana penglibatan mereka menawarkan kit phishing kepada pelanggan-pelanggan yang ingin mencuri data peribadi orang ramai.

Kumpulan 16shop ini dipercayai terlibat dalam penghasilan 150,000 laman phishing yang menyasarkan pengguna di Amerika Syarikat, Jepun, Jerman, Perancis, dan UK. Dianggarkan terdapat 70,000 individu dari 43 negara menjadi mangsa perkhidmatan yang ditawarkan oleh 16shop. Antara yang dicuri ialah maklumat perbankan PayPal, American Express, Amazon dan pelbagai lagi.
Bagi melumpuhkan operasinya, Interpol menangkap seorang suspek berusia 21 tahun yang dipercayai adalah pengendali 16shop di Indonesia. Menerusi maklumat pendaftaran laman, perkhidmatan dihoskan di Amerika Syarikat tetapi pemilik beralamat di Indonesia. Berdasarkan penangkapan pertama, dua lagi anggota 16shop ditahan di Indonesia dan Jepun.
- Sumber
- Interpol