Cari @ Amanz

GIGABYTE ialah sebuah jenama komputer dari Taiwan yang cukup terkenal untuk penawaran komponen komputer desktop dan komputer riba mereka. Produk mereka secara lazimnya dijual di kedai-kedai komputer seperti biasa, tetapi mereka tidak mempunyai kedai fizikal mereka sendiri sehingga kini.

Terkini, GIGABYTE Malaysia baru sahaja mengumumkan bahawa mereka telah membuka kedai konsep pertama mereka di Plaza Lowyat, yang akan menjual pelbagai komponen-komponen komputer dan juga pilihan komputer riba dibawah jenama GIGABYTE.

Kedai konsep ini terletak di lot G035, aras tanah Low Yat Plaza, dan mula beroperasi dari hari ini, 9 Ogos 2023. Di sini, pengunjung dapat melihat pelbagai binaan komputer desktop gaming yang menggunakan komponen GIGABYTE dan juga komputer-komputer riba keluaran mereka.

Pada 18 Ogos ini, kedai konsep tersebut juga akan mengadakan acara pembukaan besar-besaran dan menawarkan diskaun untuk pelbagai produk seperti papan induk, kad grafik, paparan skrin dan juga komputer riba.

Ini termasuklah jualan kilat untuk sejumlah produk juga seperti GIGABYTE GeForce RTX 4060 Ti Eagle 8G yang dijual pada harga RM1699 dan GIGABYTE GeForce RTX 4070 Windforce OC 12G yang dijual pada harga RM2699 yang terhad kepada 100 pengunjung kedai yang pertama.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd