Carian
DARPA Ingin Bangunkan AI Yang Boleh Menampal Kerentanan Sekuriti Pada Perisian Penting
August 10, 2023 Effi Saharudin

Dunia kini dijalankan dengan komputer dengan terdapat ribuan perisian diperlukan untuk mengendalikan lif, lampu, sistem keselamatan dan telekomunikasi. Akhir-akhir ini sering kedengaran data peribadi dan sistem penting seperti paip gas digodam menyebabkan gangguan kepada aktiviti harian.

Menyedari bahawa pergantungan kepada perisian ini mendedahkan Amerika Syarikat kepada serangan penggodam, DARPA mengumumkan pertandingan AI Cyber Challenge (AIxCC) bagi membangunkan kecerdasan buatan (AI) yang boleh mengesan sebelum menampal kerentanan sekuriti pada perisian penting.

Pertandingan akan berlangsung selama dua tahun dengan Anthropic, Google, Microsoft, dan OpenAI akan memberikan bantuan infrastruktur kepada peserta AIxCC untuk membangunkan AI bagi tujuan keselamatan siber.

Open Source Security Foundation (OpenSSF) pula akan menjadi penasihat kepada peserta bagi mewujudkan sistem AI yang mampu menangani isu keselamatan siber yang penting, seperti keselamatan infrastruktur kritikal Amerika Syarikat dan rantaian bekalan perisian.

Pertandingan ini diumumkan beberapa minggu selepas badam risikan A.S mendakwa perisian hasad buatan China disorokkan dalam rangkaian yang mengawal grid kuasa, sistem komunikasi dan bekalan air markas tentera Amerika Syarikat di seluruh dunia. Dalam situasi peperangan, ia boleh diaktifkan untuk menjejaskan ketersediaan tentera untuk menentang musuh.

Komen