Cari @ Amanz

Intel dan Lenovo adalah dua syarikat teknologi yang bekerjasama sekian lamanya, dan telah membangunkan peranti-peranti yang digunakan oleh pelbagai jenis pengguna, dari sektor kerajaan, industri dan pengguna biasa.

Baru-baru ini, ia telah dilaporkan bahawa kedua-dua syarikat ini bekerjasama untuk membuka sebuah makmal kejuruteraan peranti di Shanghai, China yang dinamakan Advanced System Innovation Lab. Di makmal ini, para jurutera dari kedua-dua syarikat ini bergabung tenaga untuk mereka dan membangunkan komputer-komputer riba baru yang bukan sahaja hadir dengan prestasi berkuasa, tetapi juga rekaan yang serba menarik.

Lenovo cukup terkenal untuk siri komputer riba produktiviti ThinkPad mereka yang hadir dengan rekaan nipis, ringan dan dengan kuasa pemprosesan yang cukup mantap sekali. Dengan kerjasama bersama Intel ini, Lenovo telah membangunkan juga komputer riba seperti ThinkPad X dan ThinkPad X Fold.

Malah, di makmal tersebut, Intel dan Lenovo telah membangunkan perisian pemandu OLED yang boleh digunakan untuk menggerakkan dua paparan OLED secara serentak. Malah, jika anda ingat, Lenovo telah memperkenalkan komputer riba Lenovo Yoga Book 9i yang tampil dengan dua paparan skrin OLED bersaiz penuh.

Kerjasama seperti ini juga cukup menarik khususnya kerana kedua-dua syarikat ini akan membangunkan peranti baru khusus dengan cip pemprosesan terbaru yang diperkenalkan Intel. Menurut laporan, Lenovo kini sedang membangunkan komputer riba baru berdasarkan cip pemprosesan Intel Lunar Lake, yang dijangka akan diperkenalkan di pasaran pada pertengahan 2024 kelak.

Kerjasama diantara syarikat cip pemprosesan dan jenama pembuat peranti bukanlah sesuatu yang baru, tetapi keunikan peranti-peranti yang diperlihatkan oleh Lenovo kebelakangan ini adalah bukti bahawa Lenovo semakin kearah memperlihatkan peranti-peranti yang semakin unik dan berguna dari segi produktiviti.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd