Isu garis hijau pada skrin OLED dilaporkan berlaku pada peranti keluaran Samsung, Oppo, Apple, OnePlus dan Huawei sejak lima tahun kebelakangan ini. Ia biasanya berlaku selepas tempoh jaminan dua tahun tamat menyebabkan kos menggantinya perlu ditanggung oleh pemilik. Di India, OnePlus memberikan jaminan seumur hidup pada peranti jualan mereka sekiranya isu garis hijau ini berlaku pada skrin.
Pemilik peranti yang terjejas dengan isu ini akan diberikan skrin baharu secara percuma. Tambahan lagi kepada pemilik OnePlus 8 dan OnePlus 9 pula, jika isu ini berlaku mereka akan diberikan baucer bagi membeli peranti baharu OnePlus dengan potongan harga yang menarik.
Malang sekali jaminan seumur hidup ini hanya diberikan kepada pelanggan OnePlus di India sahaja memandangkan negara tersebut adalah antara pasaran utama mereka. Bagi mereka yang pernah mengalami isu garis hijau pada skrin, kos menggantikannya adalah amat mahal sehingga boleh mencecah ribuan ringgit bergantung kepada pengeluar.