Carian
Ulasan Tecno Pova 5 – Menang Pada Rekaan, Kalah Pada Perisian
August 16, 2023 Amy Maizuraa

Tecno Pova 5 telah dilancarkan di Malaysia dengan harga RM699 sebuah. Ia menjadi sebuah peranti kelas pertengahan yang terhad pada sokongan 4G menerusi cip MediaTek Helio G99. Dalam masa sama turut mempunyai pro dan kontra tersendiri dalam lambakan peranti di era 5G. Berikut adalah ulasan penuh untuk Tecno Pova 5 bagi melihat apa yang ditawarkan.


Spesifikasi

Tecno Pova 5
Skrin6.78″ IPS LCD, 120Hz
1220 x 2700 pixels (~444 ppi)
PemprosesMediaTek Helio G99
Cip4 x 2.2 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G57 MC2
RAM8GB LPDDR4X
Muatan Dalaman256GB
Kamera Utama50MP
Lensa AI
Kamera Swafoto16MP f/2.4
Bateri6,000mAh
Pengecasan berwayar 45W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 4G
NFCYa
Bicu AudioAda
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas cap jari
Imbasan Wajah
Harga JualanRM699

Rekabentuk

Berat dan tebal, inilah dua perkataan yang terlintas di fikiran sewaktu awal saya memegang telefon pintar ini. Apa yang boleh saya katakan pengalaman ini cukup berbeza dengan peranti yang pernah diulas sebelum ini. Tetapi memandangkan telefon pintar ini menggunakan bateri besar 6,000mAh, maka hal tersebut sebenarnya sudah boleh dijangka dan mungkin anda boleh cuba mendapatkannya satu untuk rasai sendiri pengalaman ini.

Pujian bagaimanapun boleh saya berikan untuk kemasan serba menarik dengan rekaan yang futuristik. Kalau diikutkan terdapat dua pilihan warna yang ditawarkan di Malaysia dan salah satunya Hurricane Blue seperti unit yang diterima oleh saya untuk artikel ulasan ini. Secara peribadi ia sememangnya cukup menonjol khususnya untuk panel belakang dengan corak serba unik.

Dalam masa sama saya juga berterima kasih pada binaan melengkung pada sisi yang menjadikannya telefon pintar ini amat selesa dipegang meskipun agak berat. Ini kemudiannya ditambahbaik apabila Tecno tidak menggunakan bonggol kamera yang tebal menjadikan tiada masalah meletakkan secara rata di atas meja.

Cantik dan selesa macam mana sekalipun sebenarnya kelemahan turut boleh ditemui pada panel belakangnya yang amat licin dengan binaan berasaskan plastik sepenuhnya. Kemudian kalau disentuh sememangnya boleh menampakkan kesan cap jari yang amat ketara.

Baiklah tiada komen negatif melampau yang boleh saya katakan mengenai bahan binaan memandangkan Pova 5 hanyalah sebuah peranti bajet dengan harga di bawag RM700. Tetapi masalah kotoran cap jari yang berlaku telah menimbul rasa kurang senang sehinggakan mencacatkan kemasan telefon pintar ini sendiri. Begitu juga dengan binaan sisinya yang berkilat memerlukan saya untuk lebih berhati-hati bagi mengelakkan calar.

Butang kuasa dan laras audio diletakkan pada sisi kanan. Kedudukannya dilihat ergonomik yang juga boleh diakses dengan mudah tanpa masalah. Bahagian kiri pula terdapatnya ruang kad SIM yang menyokong sehingga tiga slot kad berbeza, yang bermakna kad mikroSD turut boleh digunakan di sini. Bahagian atas hanya terdapatnya pembesar suara, sementara itu pembesar suara kedua berada di bahagian bawah yang turut diapit oleh port USB-C dan bicu audio 3.5mm.

Seterusnya anda juga boleh temui pengimbas cap jari terbina di sisi pada telefon pintar ini. Ianya berfungsi cukup baik dengan prestasi menyahkunci yang lancar. Cumanya jari sudah semestinya perlu sentiasa dalam keadaan yang bersih dan tidak basah.

Sebagai pilihan terdapat juga sistem imbasan wajah disediakan dengan proses penetapan yang memakan masa lebih kurang 5 saat. Prestasinya juga baik dengan kebolehan menyahkunci peranti cukup lancar. Dalam masa sama terdapat juga tetapan khusus yang membolehkannya digunakan dalam kawasan pencahayaan gelap sekiranya perlu.

Turut perlu dikongsikan adalah telefon pintar ini menyediakan bicu audio 3.5mm yang dilihat memberi kelebihan kepada si penggemar fon telinga berwayar. Kewujudan sistem pembesar suara stereo juga telah memberi nilai tambah buat telefon pintar ini sendiri. Ia mampu menawarkan lontaran audio yang lantang tetapi tidak seimbang.

Hal ini dikatakan demikian kerana pembesar suara di bahagian bawah kedengaran lebih kuat berbanding di bahagian atas. Tiadanya sebarang pelindungan kalis air dan debu juga boleh dilihat sebagai kelemahan yang besar memandangkan ada sahaja pengeluar yang masih mampu memberikan ciri tersebut pada peranti bajet.


Skrin Hadapan

Selain daripada bateri, telefon pintar ini juga mempunyai skrin hadapan besar 6.78-inci FHD+ yang juga menyokong kadar segar semula 120Hz. Turut disertakan adalah kamera swafoto 16MP yang diletakkan pada lubang kecil di tengah.

Tiada komen lanjut mengenai saiz bezel yang tidak sekata memandangkan kebanyakan telefon dalam kelas yang sama turut mempunyai isu yang sama. Boleh dikatakan bahawa saya tiada masalah dengan skrin IPS LCD ini malahan masih lagi terang dengan paparan warna yang baik.

Peralihan animasi juga lancar tanpa isu melampau dengan skrin 120Hz. Dalam masa sama pengguna juga boleh memilih untuk menggunakan skrin 60Hz atau 90Hz bagi tujuan penjimatan bateri. Saya katakan begini dengan meletakkan ia di tahap sebuah peranti mampu milik, justeru janganlah pula disamakan pengalaman itu dengan sebuah peranti yang lebih mahal.


Perisian Dan Penanda Aras

Cip MediaTek Helio G99 digunakan untuk tunjang utama peranti. Ia bukanlah cip pemprosesan baharu malah telah dilancarkan sejak tahun 2019 dan secara umumnya mana-mana peranti yang dijana dengannya hanya menyokong capaian 4G sahaja. Ini digabungkan lagi dengan memori sebesar 8GB RAM dan storan dalaman 256GB yang dianggap mencukupi untuk menampung keperluan harian kebanyakan pengguna.

Sebagai tambahan peranti ini juga menyokong RAM maya yang dipanggil sebagai MemFusion dengan pilihan 3GB/5GB/8GB, sekaligus menjadikannya mempunyai sehingga 16GB RAM yang boleh diaktifkan menerusi ruang tetapan sekiranya perlu. Namun secara lalainya RAM maya ini akan ditetapkan pada 5GB RAM. Saya juga telah menjalankan beberapa ujian penanda aras, serta turut membandingkannya dengan peranti yang setara seperti di bawah:

Antutu 3D Benchmark

  • Tecno Pova5 4G – 406,217
  • Realme 10 4G – 398,203

Geekbench6

  • Tecno Pova 5 4G – 737/2005
  • Realme 10 4G – 572/1743

WildLife Extreme

  • Tecno Pova 5 4G – 1,263
  • Realme 10 4G – N/A

Hasil daripada pengalaman mendapati peranti boleh digunakan dengan baik untuk majoriti tugasan harian khususnya penggunaan aplikasi media sosial dan pemesejan. Tatalan juga lancar kerana skrin 120Hz, yang mana tiada isu animasi nampak perlahan mahupun masalah pemanasan yang melampau setakat peranti digunakan sepanjang ulasan.

Saya juga kerap membiarkan banyak aplikasi yang berjalan di latar belakang namun tiada isu melampau yang ditemui. Malah boleh dikatakan peranti keseluruhannya beroperasi dengan lancar, serta aplikasi juga tidak menjalani proses segar semua atau ditutup secara agresif. Perlu dikatakan bahawa pengalaman ini adalah berasaskan penanda aras sebuah telefon pintar bajet, justeru janganlah pula disamakan dengan pengalaman baik pada peranti dengan harga lebih mahal.

Seterusnya pengalaman saya juga mendapati tiada masalah melampau yang berlaku sewaktu peranti digunakan untuk bermain permua. Kebanyakan permua yang diuji berfungsi dengan baik, serta tetapan khusus pula boleh mencapai Ultra/Super untuk permainan MBB dan Medium/High pula untuk COD Mobile.

Bermain permainan Alsphat 9 juga menyeronokkan dengan tetapan grafik Extreme yang langsung tidak menimbulkan isu tersekat-sekat. Cumanya kelemahan mula kelihatan untuk permainan yang memerlukan sokongan grafik tinggi seperti Genshin Impact, justeru lebih disarankan untuk bermain pada tetapan sederhana untuk pengalaman yang baik.

Berkongsi mengenai perisian pula, Pova 5 menggunakan HiOS 13 berasaskan Android 13. Perlu dikatakan juga yang mana ini pengalaman pertama saya mengulas peranti Tecno, maka tidak dapat dipastikan baik secara umum mahupun khusus perbezaan dengan versi sebelum ini.Namun apa yang pasti peranti ini menyokong sepenuhnya Google Mobile Service, yang bermakna tiada isu menggunakan perkhidmatan Google pada peranti.

Ringkasnya antaramuka boleh disesuaikan dengan pelbagai ciri terbina seperti tetingkap terapung, kemampuan menjalankan dua aplikasi serentak dan sebagainya. Kelemahan paling ketara ditemui apabila masalah aplikasi gendut dan iklan berlaku pada peranti. Bagaimanapun isu ini masih boleh atasi dengan cara melumpuhkan aplikasi gendut secara manual. Seperkara yang turut tidak dapat dipastikan adalah tempoh kemaskini sistem dan sekuriti diberikan kerana ia tidak pula dikongsikan secara khusus.


Kamera Dan Kualiti Gambar

Sistem dwi-kamera digunakan dengan tetapan 50MP (utama) dan dikuti pula dengan lensa AI. Kemampuannya juga dipelbagaikan lagi dengan pelbagai mod kamera terbina pada antaramuka utama kamera seperti Film, Video, AI Cam, Beauty, Portrait dan Super Night. Dalam pada itu terdapat juga mod Slow Motion, AR Shot, Pro, Dual Video, Panorama, Document, Time-lapse dan Sky Shop yang boleh diakses dengan cara meleret ikon anak panah kecil ke atas.

Setiap gambar boleh diambil dengan nisbah berbeza yang merangkumi Full, 4:3 dan 1:1, sementara itu video pula boleh dirakam maksimum sehingga 2K/30fps yang juga menyokong penstabilan terbina. Sistem kamera juga menyokong kemampuan 2X zum optikal dan 10X zum digital, di samping mod kecantikan terbina yang boleh digunakan untuk mengambil gambar dan merakam video. Lebih menyeronokkan apabila bokeh pada latar belakang turut boleh dilaras sewaktu membuat rakaman video.

Penghasilan semula gambar keseluruhannya nampak baik-baik sahaja tetapi bergantung pada keadaan dan pencahayaan. Hal ini dikatakan demikian kerana prestasinya tidak konsisten yang mana walaupun mod HDR dan AI diaktifkan, gambar adakalanya mempunyai masalah dedahan yang berlebihan. Penghasilan semula warna benar-benar kusam, kemudian hingar juga boleh dilihat dengan jelas.

Lucunya lagi apabila AI juga dilihat gagal mengecam keadaan/subjek semasa dengan tepat, malahan cadangan yang diberikan juga sangat jauh berbeza. Misalnya seperti saya menghalakan kamera ke arah kawasan bangunan, AI akan memberi cadangan “Street View” yang mana dirasakan sama sekali berbeza dengan keadaan semasa.

Lensa AI disertakan juga boleh dianggap sebagai tindakan yang sia-sia kerana keseluruhannya hanya bergantung dengan kamera utama 50MP sahaja. Ada baiknya kalau sekurang-kurangnya sensor lebar diberikan di sini yang sepatutnya lebih memberi manfaat kepada pengguna.

Namun pujian masih diberikan untuk pengalaman bertukar mod kamera yang lancar, begitu juga dengan tiada kegagalan aplikasi kamera tertutup sendiri ditemui sepanjang ulasan dibuat. Begitu juga sokongan Night Mode 3.0 terbina yang amat membantu dalam menjadikan gambar pencahayaan rendah lebih terang dan jelas.

Namun hasilnya tidak konsisten dengan perincian yang sederhana bersama masalah hingar juga wujud dalam sesetengah keadaan. Meskipun dirasakan tidak adil bagi meletakkan harapan yang tinggi pada sebuah telefon pintar bajet. Tetapi disebabkan saya telah menguji beberapa telefon pintar bajet dengan sistem kamera lebih baik, sejujurnya Tecno Pova 5 bukanlah salah satu daripadanya.


Ketahanan Bateri

Akhir sekali bateri yang disertakan juga besar dengan kapasiti 6000mAh yang sepatutnya tiada masalah digunakan dalam jangka masa yang panjang. Pengalaman penggunaan ringan yang melibatkan aktiviti harian seperti melayari web, membalas mesej, mendengar muzik dan sebagainya membolehkan telefon pintar ini digunakan lebih daripada sehari tanpa masalah. Begitu juga dengan penggunaan ekstrem yang boleh menawarkan SOT lebih 12 jam untuk penggunaan harian.

Pujian juga saya berikan kepada Tecno yang menyediakan sistem pengecasan pantas 45W, serta kepala pengecas yang juga diberikan di dalam kotak pembelian. Justeru pengguna sama sekali tidak dibebani dengan isu membeli pengecas secara berasingan. Menariknya lagi apabila fon telinga turut diberikan percuma yang menjadi perkara amat jarang ditemui pada pengeluar hari ini.


Apa Ada Dalam Kotak?

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x Tecno Pova 5.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Kepala pengecas 45W.
  • 1x Manual Pengguna.
  • 1x Kerangka Silikon.
  • 1x Pin SIM.
  • 1X Fon telinga berwayar.

Peranti Pesaing

Tecno Pova 5Realme 10 4GRedmi 12
6.78″ IPS LCD, 120Hz
1220 x 2700 (~444 ppi)
6.4″ AMOLED, 90Hz,
1080 x 2400 (~411 ppi)
6.79″ IPS LCD,
2460×1080 (~396 ppi)
MediaTek Helio G99 (6nm)
4 x 2.2 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Mediatek Helio G99 (6nm)
4 x 2.2 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
MediaTek Helio G88 (12nm)
2 x Arm Cortex-A75 2GHz
6 x Arm Cortex-A551.8GHz
Mali-G57 MC2Mali-G57 MC2Arm Mali-G52
8GB LPDDR4X8GB LPDDR4X4/8GB LPDDR4X
256GB UFS 3.1128GB UFS 3.1128/256GB eMMC 5.1
Kamera Utama
50MP (Utama)
Lensa AI
Kamera Utama
50MP (Lebar)
2MP (B&W)
Kamera Utama
50MP (Utama)
8MP (Lebar)
2MP (Makro)
Kamera Hadapan
16MP f/2.4
Kamera Hadapan
16MP, f/2.5
Kamera Hadapan
8MP f/2.1
Tidak kalis airTiada kalis airIP68
Bicu AudioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio stereoAudio monoAudio mono
6,000mAh
Berwayar 45W
5,000mAh
Berwayar 33W
5,000mAh
Berwayar 18W
RM699 (8/256GB)RM999 (8/128GB)RM599 (4/128GB)
RM699 (8/256GB)

Kesimpulan

Secara keseluruhannya telefon pintar ini ada pro dan kontra yang tersendiri. Benda yang baiknya pada Tecno Pova 5 adalah skrin besar 6.78″ yang mampu menyediakan pengalaman tontonan visual memuaskan. Selain itu tiada isu melampau yang ditemui pada skrin disertakan meskipun hanya sejenis LCD.

Seterusnya kapasiti bateri juga besar yang sepatutnya tiada masalah untuk telefon pintar ini bertahan lebih lama. Ini ditambah baik lagi dengan sistem pengecasan 45W yang boleh dikategorikan masih pantas untuk proses pengecasan semula telefon pintar. Gabungan memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB juga memadai untuk menampung keperluan kebanyakan pengguna. Turut diberikan adalah kemampuan melanjutkan memori secara maya sehingga 8GB, sekaligus menjadi telefon pinta boleh menawarkan sehingga 16GB RAM keseluruhannya.

Kontra paling ketara sudah semestinya tiadanya 5G disokong pada telefon pintar ini memandangkan cip MediaTek Helio G99 digunakan sebagai tunjang utama. Selain itu Tecno Pova 5 juga tidak melepasi mana-mana penarafan kalis air yang sepatutnya memerlukan penjagaan amat rapi bagi mengelakkan isu kerosakan.

Konfigurasi kamera 50MP digunakan mungkin kedengaran agak gah namun hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Ini jelas menunjukkan sistem kamera tidak menjadi kekuatan untuknya, malahan masih banyak pilihan lain dalam kelas yang sama boleh dipertimbangkan seperti peranti Redmi atau Xiaomi. Namun begitu bagi yang berminat untuk mendapatkannya satu, ia telah dijual di Malaysia dengan harga RM699.


Pro

  • Skrin memuaskan meskipun hanya IPS LCD.
  • Tatalan lancar dengan skrin 120Hz.
  • Kombinasi RAM dan storan dalaman memadai.
  • Bateri 6000mAh dengan pengecasan pantas 45W.
  • Bicu audio 3.5mm.

Kontra

  • Tubuh berat dan tebal.
  • Tiada sokongan 5G.
  • Tidak kalis debu dan air.
  • Kamera tidak konsisten.
Komen