Carian
Kemaskini Sekuriti Downfall Untuk CPU Intel Menyebabkan Penurunan Prestasi Yang Mendadak
August 14, 2023 Nazrin

Pada minggu lepas kami telah melaporkan mengenai kerentanan sekuriti Downfall untuk sejumlah besar siri cip pemprosesan Intel Core yang dilancarkan, dari siri Skylake sehinggalah Rocket Lake.

Intel dilihat sudahpun mengeluarkan kemas kini sekuriti yang memperbaiki kerentanan ini, tetapi menurut laman web ulasan perkakasan Linux Phoronix, yang telah menguji prestasi cip-cip pemprosesan ini selepas kemas kini ini dikeluarkan, mereka mendapati bahawa sejumlah daripadanya telah memperlihatkan penurunan dari segi prestasi.

Intel Malay

Laman web tersebut menggunakan perisian penanda-aras seperti OSPRay dan Neural Magic untuk menguji kemampuan CPU sebelum dan selepas kemas kini tersebut digunakan, dan memperlihatkan kejatuhan prestasi setinggi 33 peratus selepas ia dipasang.

Menurut ulasan tersebut, prestasi pasca-kemaskini masih tidak seteruk 50 peratus seperti apa yang disarankan Intel, tetapi untuk mereka yang menggunakan cip pemprosesan Intel untuk tujuan seperti suntingan video, pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan dan sebagainya, ia akan menyebabkan penurunan ketara dari segi produktiviti.

Intel telahpun mengatakan bahawa ia dijangka bahawa kemaskini akan menyebabkan penurunan prestasi setinggi 50 peratus untuk proses dan tugasan tertentu, dan walaupun kejatuhan prestasi yang diperlihatkan tidaklah seteruk yang dijangka, ia masih lagi menyebabkan isu untuk mereka yang memerlukan kuasa pemprosesan tersebut.

Komen