BlackShark kini mengumumkan ketersediaan tiga produk baharu buat pengguna di Malaysia. Melaluinya jam tangan BlackShark GT Neo, BlackShark GT dan BlackShack S1 diumumkan yang masing-masing berharga RM149, RM199 dan RM299. Menariknya lagi apabila BlackShark GT Neo boleh dibeli dengan harga serendah RM99 untuk masa terhad iaitu 17 dan 18 Ogos 2023.
Perbezaan ketara yang boleh dilihat sudah semestinya pada kerangka utama yang mana BlackShark GT (AMOLED) dan GT Neo (TFT LCD) berbentuk empat segi dengan pilihan warna hitam. Sementara itu BlackShark S1 (AMOLED) pula dilengkapi kerangka berbentuk bulat yang dipadankan dengan tali silikon bewarna putih. Kelebihan turut diberikan pada BlackShark S1 yang memuatkan dua butang kawalan, berbanding satu butang yang terdapat pada BlackShark GT dan GT Neo.
Pun begitu secara umumnya ketiga-tiga jam tangan ini berkongsi sebahagian besar spesifikasi dalaman yang sama. Ini bermakna pelbagai ciri kesihatan serta kecergasan standard yang merangkumi pemantauan kadar jantung, pola tidur, SpO2, tekanan harian dan lebih 100 mod sukan terbina boleh ditemui pada ketiga-tiga produk. Turut disertakan adalah kebolehan membuat panggilan secara bluetooth dan kalis air IP68.