Cari @ Amanz

Xiaomi MIX Fold3 dilancarkan hari ini dengan rekaan yang nipis, pemproses yang cukup berkuasa dan turut menjadi peranti skrin boleh-lipat pertama di dunia dengan sistem kuad kamera. Tidak seperti Z Fold5 yang dilancarkan tiga minggu yang lalu, MIX Fold 3 mempunyai tubuh yang cukup nipis membuatkannya kelihatan seperti sebuah telefon pintar jenis candybar biasa.

Untuk skrin luar, Xiaomi menggunakan panel 6.56-inci E6 OLED yang menyokong kadar segar semula tinggi 120Hz LTPO. Skrin di luar membolehkan penggunaan bezel nipis dan penggunaan seakan peranti biasa dengan skrin 21:9. Ini meletakkannya setanding dengan rekaan Vivo X Fold 2 dan Huawei Mate X3.

Skrin dalam peranti pula bersaiz 8.03-inci E6 OLED LTPO dengan kadar segar semula tinggi 120Hz. Ia turut menggunakan panel kaca UTG hanya setebal 0.03 mm yang membuatkan garisan lipatan pada skrin tidak begitu ketara menurut Xiaomi.

Rekaan model tahun ini semakin nipis iaitu 5.26mm bila dibuka dan 10.96mm apabila ditutup. Ini dilakukan dengan engsel baharu yang yang melepasi ujian TUV Rheinland dibuka dan tutup sehingga 500,000 kali. Ia juga membolehkan skrin dibuka serta dikekalkan pada sudut antara 45-135 darjah untuk Hover Mode yang setanding dengan yang ditemukan pada Z Fold5.

Xiaomi MIX Fold 3 dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 8 Gen 2 Leading Edition yang dipadankan dengan memori sehingga 16GB RAM, storan dalaman sehingga 1TB dan bateri 4800mAh yang menyokong pengecasan pantas 67W secara berwayar serta 50W secara nirwayar.

Untuk kamera ia menggunakan konfigurasi kuad-kamera yang menggabungkan lensa sudut lebar 50MP f/1.77 OIS, ultra sudut lebar 13MP f/2.2, telefoto 3.2X 10MP f/2.0 OIS dan telefoto 5X 10MP f/2.92 OIS.

Kamera swatoto pula adalah 20MP di luar serta dalam yang diletakkan pada lubang skrin. Kamera sekali lagi menggunakan lensa Leica Summicron dengan terdapat beberapa mod yang memberikan rakaman seakan diambil menggunakan kamera Leica sebenar.

Untuk audio, Xiaomi mengekalkan speaker stereo dengan Dolby Atmos. Peranti ini menjalankan MIUI Fold 14 iaitu sistem operasi baharu MIUI yang dibina khusus untuk peranti dengan skrin boleh-lipat. Ia dibina berasaskan Android 13 dan menyokong banyak aplikasi pihak ketiga untuk penggunaan multi-tugasan serta paparan lebih baik dalam mod tablet.

Peranti ditawarkan dalam kemasan kaca tetapi Xioami turut menawarkan edisi gentian komposit yang menurut mereka adalah 36x lebih tahan lasak berbanding kaca biasa.

Harga jualan Xiaomi MIX Fold 3 adalah.

  • RMB 8999 (~RM5631) – untuk 12/256 GB
  • RMB 9999 (~RM6257) – untuk 16/512 GB
  • RMB 10999 (~RM6883) – untuk 16/1000 GB
© 2023 Amanz Media Sdn Bhd