Teknologi paling hangat sejak 12 bulan kebelakangan ini ialah kecerdasan buatan (AI). OpenAI memulakan perlumbaan dengan melancarkan ChatGPT sebelum Google melancarkan Bard dan Meta pula melancarkan Llama 2. Seperti yang dapat dilihat pada waktu ini, dunia AI generatif dikuasai oleh negara Barat dengan China sedang cuba mengejar walaupun dengan akses kepada perkakasan dihalang.Menurut laporan Financial Times, negara Timur Tengah juga tidak mahu ketinggalan dan mula memborong cip AI keluaran NVIDIA.

Arab Saudi misalnya memborong lebih 3000 cip NVIDIA H100 yang akan digunakan untuk membina superkomputer Shaheen III di King Abdullah University of Science and Technology (Kaust). Kaust sebelum sudahpun memiliki beberapa ratus cip NVIDIA A100 yang digunakan untuk melatih model bahasa raya untuk kegunaan tempatan.
Kos membeli ribuan cip H100 ini mencecah $120 juta tetapi ia adaalah pelaburan jangka panjang supaya negara tidak perlu bergantung kepada AI keluaran Barat atau China. Di Arab Saudi kajian dalam bidang AI dilakukan dengan sebahagian besar tenaga kerja adalah berasal daripada China.

UAE juga dipercayai membeli ribuan cip AI NVIDIA dan telahpun berjaya melatih LLM mereka sendiri yang diberi nama Falcon. Seperkara lagi yang menarik ialah UAE adalah negara pertama yang mempunyai kementerian khusus untuk kecerdasan tempatan.
Sepanjang 2023, NVIDIA diramalkan akan mengeluarkan 550,000 cip H100. Permintaan untuk cip AI meningkat mendadak dengan ia dilihat bukan sahaja perlu untuk memajukan negara tetapi pada waktu yang sama memastikan negara boleh berdikari tanpa perlu mengeksport teknologi AI negara lain. Minggu lalu beberapa gergasi teknologi China telah dilaporkan memborong cip A800 NVIDIA sebagai persediaan sekiranya pentadbiran Joe Biden ingin memperketatkan lagi jualan cip AI.