Maxis hari ini telah mengaktifkan perkhidmatan 5G kepada semua pengguna mereka di Malaysia. Melaluinya, para pengguna boleh menikmati akses internet berkelajuan lebih tinggi dan pada kadar pendam yang rendah.
Bersama-sama pengenalan ini, Maxis turut mengumumkan beberapa pelan baharu untuk para pelanggan pascabayar Maxis. Pelan baharu ini hadir pada harga bermula RM79 sebulan untuk 80GB data (4G/5G) + 40GB data 5G, selain dilengkapi panggilan dan SMS tanpa had.
Disamping itu, terdapat beberapa pilihan pelan lain, sehingga RM199 sebulan yang menawarkan 200GB data (4G/5G) + 100GB data 5G, selain panggilan dan SMS tanpa had.

Para pengguna Maxis digalakkan untuk beralih ke pelan baharu ini. Namun, sekiranya ingin kekal pada pelan sedia ada, serta ingin menikmati akses 5G, pengguna boleh mengaktifkannya melalui aplikasi dengan mendapatkan pas akses 5G.
Maxis menawarkan pas akses 5G ini secara percuma selama 30 hari pertama, dan seterusnya pengguna akan perlu membayar RM10 sebulan.
Selain itu, Maxis juga telah mengaktifkan penawaran 5G kepada pengguna pelan Hotlink, dan turut boleh mengaktifkannya melalui aplikasi Hotlink RED.