Cari @ Amanz

UL Benchmarks, syarikat di sebalik perisian penanda-aras PCMark dan 3DMark hari ini telah memperkenalkan sebuah perisian penanda-aras baru yang menguji kemampuan grafik komputer dan juga peranti Android sekaligus.

Dinamakan Solar Bay, penanda-aras ini menguji kemampuan mengolah grafik Ray-tracing yang menggunakan olahan cahaya dan bayang-bayang masa nyata untuk memberikan grafik yang lebih imersif dan realistik.

Keunikan perisian Solar Bay ini ialah ia boleh digunakan untuk bukan sahaja menentukan kemampuan olahan Ray-tracing pada komputer-komputer gaming yang menggunakan sistem operasi Windows, tetapi ia juga boleh digunakan pada peranti-peranti Android juga.

Penanda-aras ini hadir dalam dua format, satu ialah ujian yang memperlihatkan kebolehan peranti tersebut untuk mengolah grafik menggunakan teknologi Ray-tracing untuk jangka masa yang pendek, dan satu lagi ialah mod Stress Test yang menguji prestasi olahan grafik tersebut untuk jangka masa panjang.

Penanda-aras Solar Bay kini boleh dimuat-turun melalui gedung permainan atas-talian Steam dan Epic Games Store dan juga melalui Google Play Store bermula hari ini.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd