Selama ini Google hanya mengenakan beberapa syarat pada spesifikasi peranti yang ingin menggunakan Android dengan sokongan GMS. Ini adalah bagi memastikan peranti yang dipasarkan adalah selamat digunakan oleh pembeli. Menurut laporan terkini Mishaal Rahman, kelak Google mungkin akan mengenakan syarat pada perkakasan pula pada peranti skrin boleh-lipat yang ingin menggunakan Android.

Menurut Rahman, peranti skrin boleh-lipat perlu mempunyai engsel tork boleh mengekalkan 80% kekerasannya selepas 200,000 kali. Engsel tork digunakan pada peranti seperti Z Fold5 dan MIX Fold 3 untuk mengakses Flex Mode yang membolehkan skrin dikekalkan pada sudut tertentu.
Terdapat juga syarat baharu dari segi sokongan perisian dimana peranti skrin boleh-lipat perlu mempunyai sokongan tampalan sekuriti sekurang-kurangnya tiga tahun. Sokongan ini adalah perlu memandangkan peranti dalam kategori ini dijual pada harga lebih mahal maka perlulah disokong lebih lama.
Tidak diketahui sama ada syarat-syarat baharu ini akan dikuatkuasakan kepada semua pengeluar dalam masa terdekat. Pada hemat kami ia adalah bagus untuk orang ramai kerana memberikan sedikit keyakinan untuk membeli peranti skrin boleh-lipat.
- Sumber
- Android Authority