Umum sedia maklum skrin telefon pintar apabila basah tidak mengesan sentuhan jari dengan baik. Pada peranti IP68 misalnya, apabila peranti dibenamkan dalam air skrin tidak responsif. Ia boleh diselesaikan menggunakan S Pen seperti pada Samsung Galaxy Tab S Ultra, menawarkan kerangka pelindung khas dan mod dalam air pada perisian seperti Huawei.
Baru-baru ini OnePlus berkongsi video promosi OnePlus Ace 2 Pro menunjukkan skrin masih boleh digunakan walaupun ia basah. Sistem yang dipanggil Rain Water Touch buat julung kalinya digunakan pada Ace 2 Pro. OnePlus menggunakan cip khas pada skrin serta algoritma untuk mengesan di sentuhan jari bagi membolehkan ia berfungsi seperti biasa. Sebagai perbandingan sebuah iPhone 14 Pro dengan skrin basah sukar untuk digunakan.
Tidak pasti sama ada peranti ini akan ditawarkan di pasaran global termasuk di Malaysia ataupun tidak. Mungkin peranti ini menjadi “tikus makmal” OnePlus sebelum diintegrasikan pada peranti mercu mereka seperti OnePlus 12 akan datang. Sama-sama kita nantikan.