Saya silap dan saya salah! Tahun lepas semasa saya mengulas Samsung Galaxy Z Flip4, saya katakan peranti inilah telefon lipat yang saya nanti-nantikan. Selepas menggunakan Galaxy Z Flip5 baru saya sedar inilah telefon lipat sebenar untuk saya. Samsung akhirnya hadir dengan iterasi yang paling sempurna. Cuma adakah peranti ini mampu menjadi peranti kegemaran saya, adakah ia berbaloi untuk dimiliki dan patutkah anda memilikinya berbanding peranti mercu lain?

Spesifikasi
Samsung Galaxy Z Flip5 5G | |
---|---|
Skrin | Dalam – 6.7″ Dynamic AMOLED 2X, FHD+, 120Hz, HDR10+ Luar – 3.4″ Super AMOLED, 720 x 748, 60Hz |
Pemproses | Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy (4nm) |
Cip | 1x 3.36 GHz Cortex-X3 2x 2.8 GHz Cortex-A715 2x 2.8 GHz Cortex-A710 3x 2.0 GHz Cortex-A510 |
Cip Grafik | Adreno 740 |
RAM | 8GB LPDDR5X |
Muatan Dalaman | 256/512 GB UFS 4.0 |
Kamera Utama | 12 Megapixel f/1.8, OIS 12 Megapixel f/2.2 |
Kamera Swafoto/Kamera Dalaman | 10 Megapixel f/2.2 |
Bateri | 3700 mAh Pengecasan berwayar 25W Pengecasan nirwayar 10W Pengecasan berbalik 4.5W |
SIM/Telefoni | Nano/5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | IPX8 |
Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari sisi |
Harga Jualan | RM4,499 (8/256 GB) RM4,999 (8/512 GB) |
SKRIN
Seperti Z Flip4, Z Flip5 turut masih menggunakan skrin dalam bersaiz 6.7″ dari panel Dynamic AMOLED 2X yang menyokong kadar segar semula 120Hz dan paparan warna HDR10+. Walau bagaimanapun terdapat perubahan kecil diberikan iaitu kecerahan skrin yang kini boleh mencapai sehingga 1750 nits berbanding 1200 nits pada Z Flip4.
Dalam penggunaan saya, skrin dalam peranti ini benar-benar terang dan ketika di luar tiada masalah pun untuk digunakan di bawah cahaya matahari yang terik. Cuma peranti akan mudah memanas apabila skrin berada di tahap kecerahan maksima dan prestasi akan sedikit terjejas.

Menonton video di YouTube adalah lebih menarik dan memuaskan. Ini bukan kerana saiz skrin atau bezel, sebaliknya ciri Flex Mode baharu yang menjadikan peranti ini lebih seronok digunakan apabila aplikasi YouTube dibuka. Kualiti video di Netflix juga tidak mengecewakan dan tiada masalah dalam memainkan kandungan HDR10+.
Kesan lipatan pada peranti ini masih kelihatan walaupun Samsung telah menggunakan sistem engsel baharu. Disebabkan saya sudah biasa menggunakan peranti Z Flip, kesan lipatan ini hanya akan kelihatan apabila dicari dan tidak begitu menjengkelkan sepanjang penggunaan.

Kadar segar semula 120Hz juga pantas dan konsisten apabila peranti tidak memanas. Saya ingin bandingkan dengan Oppo Find N2 Flip yang kesan lipatannya tidak begitu jelas. Walau bagaimanapun ia semakin jelas selepas lebih satu minggu penggunaan. Jadi pada peranti Z Flip5 ini, lebih baik boleh nampak dahulu berbanding kemudian agar tidak rasa janggal.
Perubahan paling besar pada peranti ini adalah skrin luar. Ia menggunakan panel Super AMOLED bersaiz 3.4″ beresolusi 720 x 748 piksel dengan kadar segar semula 60Hz serta berbentuk seakan sehelai fail dokume. Ini adalah perkara yang paling saya gemari pada Z Flip5 kerana akhirnya skrin luar benar-benar berguna dan bukannya seperti sebuah paparan Xiaomi Band atau terhad kepada widget yang kecil sahaja.

Skrin luar ini boleh menjalankan apa jua aplikasi melalui aplikasi Good Lock oleh Samsung, boleh memainkan video Netflix, YouTube, boleh membuka aplikasi WhatsApp versi penuh, Google Maps, boleh bermain permua khas pada Good Lock atau main terus PUBG Mobile dan widget yang disokong lebih pelbagai serta bersaiz besar yang sangat mudah digunakan.
Skrin luar Z Flip5 ini turut boleh dikustomasi dengan pelbagai warna, corak, meletakkan gambar sendiri atau menggunakan tema lalai yang mirip muka jam pada Galaxy Watch6 mereka. Sayang sekali saya masih tidak menemui ciri menyelarikan muka jam Galaxy Watch ke Cover Screen ini seperti yang mereka janjikan.

Kekurangan skrin luar ini hanyalah pada kadar segar semula yang perlahan memberi ilusi penggunaan yang lengah masa. Bukan itu sahaja, skrin luar ini turut tidak boleh memaparkan status penggunaan bateri. Ini sukar untuk saya menjaga ketahanan bateri kerana sistem Android hanya boleh memaparkan penggunaan bateri pada skrin dalam sahaja.
Biometri
Samsung Galaxy Z Flip5 turut masih menggunakan sistem imbasan cap jari di sisi bersama dengan butang kuasa. Ia pantas hanya apabila jari saya kering. Tetapi individu seperti saya yang kuat berpeluh, imbasan cap jari kerap gagal. Bukan itu sahaja, apabila peranti dalam keadaan dilipat jari saya yang besar akan kerap tersentuh sisi peranti dan peranti menyangkakan saya ingin mengimbas jari lalu gagal dan harus menunggu tempoh yang lama untuk menyahkunci peranti.
REKAAN
Secara keseluruhan Z Flip5 masih menggunakan rekaan lebih kurang sama di luar dan di dalam. Di luar kini hanya panel belakang di bahagian bawah yang berwarna kerana bahagian atas dipenuhi dengan skrin. Disebabkan itu juga tiada lagi pilihan edisi Bespoke seperti tahun lepas. Setiap siri peranti masih rata, bezel skrin yang nipis dan rekaan skrin luar yang unik.

Sisi kiri peranti hanya mempunyai slot kad SIM, sisi kanan adalah butang laras suara dan butang kuasa, atas peranti hanya ada lubang mikrofon, di bawah pula ada lagi da lubang mikrofon, kekisi speaker dan port USB-C. Kemasan belakang peranti di bahagian bawah adalah jenis berkilat. Unit saya berwarna Cream dan ia mudah calar. Nasib baik pada bahagian skrin luar ia dilindungi dengan kaca Gorilla Glass Victus 2, jika tidak calar disebabkan kunci dalam kocek pasti akan berlaku.


Untuk mengelakkan calar ini berlaku saya amat menggalakkan anda menggunakan kerangka pelindung seperti Flap Eco-Leather, Silicone Case with Ring, Flipsuit Case, atau Clear Gadget Case yang ditawarkan secara rasmi. Jika ingin lebih pelbagai rekaan menarik, pelekat vinil boleh digunakan dan turut jangan lupa menggunakan pelindung skrin untuk skrin luar dan di dalam.

Penggunaan Dan Perisian
Samsung Galaxy Z Flip5 menggunakan One UI 5.1.1 berasaskan Android 13. Pengalaman menggunakan peranti ini lebih kurang sama dengan One UI pada Z Flip4 sebelum ini dan jika anda pernah menggunakan peranti Samsung, peranti ini mudah untuk dikendalikan kerana menawarkan pelbagai fungsi dan ciri yang menarik.

Jika sebelum ini saya katakan One UI pada Z Flip4 memberikan pengalaman yang lengkap, pada Z Flip5 ia memberikan pengalaman penggunaan yang sempurna. Ia pantas, mudah digunakan, lancar jika tidak ada banyak aplikasi berjalan di latar dan saya rasakan ini pertama kami saya menggunakan peranti mercu Samsung dengan memori 8GB RAM yang rasa memuaskan.


Pada Z Flip5 jika skrin tidak dilipat, skrin kunci menyokong banyak widget untuk mudah mengawal muzik, melihat cuaca, menggunakan pemasa, perakam suara dan banyak lagi. Kemampuan Cover Screen dihias dengan pelbagai tema juga cukup menarik dan menyokong widget bersaiz besar, Samsung layak menerima pujian. Ciri Labs yang mengaktifkan Flex Mode pada hampir semua aplikasi juga cukup menarik kerana menjadikan Flip5 sebagai laptop mini.


Bercakap mengenai Flex Mode, menggunakan mod ini pada saya kini lebih menarik. Tidak kira apa jua aplikasi boleh dibuka dalam mod ini dengan aplikasi di atas dan bahagian bawah akan ada ruangan khas untuk pad sesentuh yang menyokong gestur, akses pantas ke tangkapan layar, hanya dua tap untuk menjalankan dua aplikasi serentak, tekan satu ikon untuk akses talam notifikasi dan banyak lagi.

Kegemaran saya adalah apabila memainkan video atau muzik, bahagian bawah skrin ini akan menjadi panel kawalan yang sangat mesra pengguna. Benar, saiz video akan menjadi kecil tetapi jika setakat tonto video ketika makan atau sekadar ingin menonton klip pendek ia sangat berguna.
PENANDA ARAS
Seperti siri Samsung Galaxy S23, Z Flip5 turut dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy yang dikatakan telah dilewahjam untuk prestasi yang lebih pantas. Samsung juga hanya satu-satu pengeluar peranti yang menjual peranti Snapdragon 8 Gen 2 dengan 8GB RAM di Malaysia. Jadi skor penanda aras mungkin kurang memberangsangkan. Apa jua skor yang dipaparkan di bawah, anda perlu ingat ia hanya nombor dan pengalaman penggunaan di dunia sebenar adalah lebih penting.

Untuk Z Flip5 pesaing terdekat adalah Oppo N2 Flip dengan Snapdragon 8+ Gen 1 (8GB RAM) dan juga Vivo X Flip dengan Dimensity 9000+ (12GB RAM). Dua peranti ini yang pernah diuji di makmal Amanz dengan aplikasi AnTuTu 3D, Geekbench 6 serta 3DMark.
AnTuTu 3D
- Samsung Galaxy Z Flip5 – 1,091,543
- Oppo Find N2 Flip – 756,646
- Vivo X Flip – 872,906
- Xiaomi 13 – 1,272,181
Geekbench 5
- Samsung Galaxy Z Flip5 – 1,850/4,068
- Oppo Find N2 Flip – 1,028/3,088
- Vivo X Flip – 1,666/3,793
- Xiaomi 13 – 1,903/5,437
3DMark – Wild Life Extreme
- Samsung Galaxy Z Flip5 – 2,319
- Oppo Find N2 Flip – 2617
- Vivo X Flip – 2,154
- Xiaomi 13 – tidak boleh diuji

Pengalaman bermain permua pada peranti ini agak menarik. Ia lancar dan pantas serta tidak mudah memanas. Cuma sebagai pengguna yang sedikit ganas dalam menggunakan telefon pintar, saya mempunyai rasa risau yang skrin mudah rosak kerana apabila kalah dan peranti tidak dipegang dengan baik ia kerap terlipat dan tertutup rapat dengan kuat.

Bermain permua pada skrin luar juga menarik. Walau bagaimanapun hanya permua yang ditawarkan melalui Good Lock yang cukup baik. Permua lain seperti Asphalt 9 dan Marvel Snap jika dimainkan pada skrin luar ia ada masalah lengah masa dan masalah sentuhan kerana tidak dioptimasikan untuk dimainkan pada skrin kecil yang nisbahnya aneh.
KAMERA
Peranti ini masih lagi menggunakan konfigurasi dwi-kamera 12MP yang sama dengan Z Flip3, dan Z Flip4. Tetapi dengan cip Snapdragon 8 Gen 2, mampu menjadikan hasil imej sedikit lebih baik dengan durasi pasca-proses yang lebih pantas. Dalam ujian kami, hasil gambar hanya sedikit perbezaan dengan Z Flip4 tetapi untuk peranti yang berharga lebih RM4000 ia adalah sistem kamera yang lemah sebenarnya.

Saya akan mulakan dengan kamera swafoto untuk skrin dalam, yang mana ia mempunyai warna yang sedikit pudar. Kemasan mod potret juga tidak begitu cantik, tetapi butiran masih cuba dipelihara dengan baik. Dengan Cover Screen sebagai viewfinder kamera swafoto adalah dengan menggunakan kamera belakang – di sini barulah ia nampak lebih tajam, warna yang lebih menyerlah dan kesan kabur yang lebih kemas.


Saya rasakan nilai HDR pada kamera utama kali ini lebih terang, cantik dan memuaskan. Mod potret juga lebih kemas dan saya paling menyukai hasil warna yang lebih tajam serta kelihatan seperti menggunakan peranti mercu yang lebih mahal. Isu utama adalah pada kemampuan zum yang terhad kepada kaedah digital yang sangat mengecewakan.
Mod sudut ultra lebar juga lebih baik kerana hasil warna yang konsisten dan hampir sama dengan sensor utama. Penggunaan Flex Mode pada Flip5 turut membolehkan saya mengawal kamera dengan lebih mudah serta memberikan penggunaan yang lebih efisien tanpa bergantung kepada aksesori pihak ketiga.







VIDEO
Saya cukup sukakan kemampuan rakaman video HDR pada peranti ini kerana ia memberikan warna yang cantik dan tajam. Butiran yang turut dipelihara dengan baik serta mempunyai penstabilan yang hebat berbanding beberapa peranti mercu lain yang dijual pada harga yang sama. Cuma video pada suasana cahaya yang tidak terang memberikan kesan hingar yang banyak dan fokus menjadi tidak konsisten.
TELEFONI DAN GPS
Sambungan data mudah alih pada peranti ini. Peranti menyokong cukup lancar dan stabil, 4G tiada masalah begitu juga VoLTE dan VoWiFi. Maxis yang akhirnya menawarkan 5G turut disokong pada peranti ini, cuma penggunaan baterinya cukup dahsyat. Panggilan telefon juga jelas kerana mikrofon yang berkualiti. Untuk GPS, Z Flip5 tiada masalah dalam mengunci lokasi dan memberikan arahan selok-belok dengan tepat.
BATERI
Bateri Z Flip5 masih sama dengan Z Flip4 iaitu 3700mAh dengan sokongan pengecasan 25W. Sayang sekali ketahanan bateri peranti ini lebih lemah berbanding generasi sebelum. Ini mungkin kerana saiz skrin luar yang lebih besar dan menggunakan kuasa pada kadar yang lebih tinggi.
Dalam penggunaan saya yang biasa sahaja, iaitu aktif di media sosial, memainkan video dan muzik, sekitar satu jam bermain permua, GPS dan 4G ia bertahan sekitar 5 jam SOT. Penggunaan 5G memberikan ketahanan sekitar 4 jam SOT sahaja dan jika menggunakan Galaxy Watch6 Classic, Flip5 mampu bertahan pada sekitar 3 jam SOT.

Pengecasan peranti 25W adalah sangat mengecewakan kerana sudah tahun 2023 dan harga peranti yang mencapai lebih RM4000 adalah tidak patut. Masa pengecasan mengambil masa hampir dua jam untuk peranti yang bersaiz kompak ini. Alasan untuk menjaga kesihatan bateri adalah mengarut kerana kita semua tahu yang peranti Android selepas dua tahun pasti akan mula lengah masa dengan prestasi yang semakin perlahan. Jadi jika kesihatan bateri menurun itu adalah perkara biasa.

AUDIO
Sama seperti Z Flip4, speaker peranti enak kerana menggunakan sistem stereo dan juga Dolby Atmos. Sokongan Dolby Atmos Gaming meningkatkan bass dalam permua yang memberi pengalaman yang lebih mengasyikkan. Audio yang dihasilkan juga seimbang, cuma dalam keadaan tertutup ia rasa sedikit aneh dan kurang memuaskan.
PESAING
Samsung Galaxy Z Flip5 5G | Oppo Find N2 Flip | Vivo X Flip |
Dalam – 6.7″ Dynamic AMOLED 2X, FHD+, 120Hz, HDR10+ Luar – 3.4″ Super AMOLED, 720 x 748, 60Hz | Dalam – 6.8″ LTPO AMOLED, FHD+, 120Hz, HDR10+ Luar – 3.26″ AMOLED, 382 x 720, 60Hz | Dalam – 6.8″ LTPO AMOLED, FHD+, 120Hz, HDR10+ Luar – 3.26″ AMOLED, 382 x 720, 60Hz |
Snapdragon 8 Gen 2 (4nm) 1x 3.36 GHz Cortex-X3 2x 2.8 GHz Cortex-A715 2x 2.8 GHz Cortex-A710 3x 2.0 GHz Cortex-A510 | Dimensity 9000+ (4nm) 1x 3.20 GHz Cortex-X2 3x 2.85 GHz Cortex-A710 4x 1.80 GHz Cortex-A510 | Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm) 1x 3.0 GHz Cortex-X2 3x 2.5 GHz Cortex-A710 4x 1.80 GHz Cortex-A510 |
Adreno 740 | Mali-G710 MC10 | Adreno 730 |
8GB LPDRR5X | 8GB LPDRR5 | 12GB LPDDR5 |
256/512 GB UFS 4.0 | 256GB UFS 3.1 | 512GB UFS 3.1 |
Kamera Utama 12MP, f/1.8 (utama), OIS 12MP f/2.2 (sudut ultra-lebar) | Kamera Utama 50MP, f/1.8 (utama), OIS 8MP, f/2.2 (sudut ultra-lebar) | Kamera Utama 50MP, f/1.8, OIS (utama) 12MP, f/2.2 (sudut ultra-lebar) |
Kamera Hadapan 10-Megapixel f/2.2 | Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.4 | Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.5 |
IPX8 | Tiada | Tiada |
Tiada bicu audio | Tiada | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
3700 mAh (Berwayar 25W) | 4300 mAh (Berwayar 44W) | 4400 mAh (Berwayar 44W) |
RM4,499 (8/256 GB) RM4,999 (8/512 GB) | RM3,999 (8/256 GB) | Bermula RMB 5,999 (~RM3,869) |
KESIMPULAN
Generasi kelima Galaxy Z Flip5 terbukti adalah iterasi yang terbaik dan hampir sempurna. Inilah telefon flip yang dinanti-nantikan kerana skrin luar besar, prestasi mantap, sokongan perisian yang hebat dan memberikan pengalaman penggunaan yang terbaik. Kamera yang tiada perubahan besar masih mempunyai peningkatan kualiti kerana pemprosesan imej yang baharu. Kekurangan utama hanyalah pada ketahanan bateri sahaja.

RM4,499 bukanlah satu harga yang sangat mahal untuk peranti seperti ini. Oppo N2 Flip boleh didapati pada harga hampir RM500 lebih murah tetapi perisian yang masih tidak matang. Vivo X Flip pula tidak dijual di Malaysia secara rasmi dan jika anda kecewa dengan Z Fold5, Z Flip5 adalah sebuah peranti yang baik jika anda ingin rasakan teknologi telefon lipat yang lebih maju.
Pro
- Skrin dalam yang pantas, cantik dan lebih baik.
- Skrin luar yang besar dan lebih berguna.
- Prestasi hebat dan mantap.
- Perisian yang matang untuk telefon lipat.
- Perlindungan IPX8 yang lebih meyakinkan.
- Engsel yang lebih ketat dan tahan lasak.
- Kamera yang baik walaupun tiada perubahan spesifikasi.
Kontra
- Ketahanan bateri yang mengecewakan.
- Sistem pengecasan 25W yang perlahan.
- Rekaan tubuh yang masih sama nampak sedikit bosan.
- Memori 8GB RAM yang kecil untuk peranti mercu.
