Carian
Kerajaan Sedang Mengkaji Keperluan Mempunyai Pegawai Perlindungan Data Dalam Organisasi
August 15, 2023 Aman

Sejak setahun dua ini, kadar kebocoran data pengguna di Malaysia boleh dikategorikan agak membimbangkan. Selari dengannya, kini kerajaan sedang mengkaji keperluan untuk setiap organisasi mempunyai pegawai khusus dalam menguruskan data pengguna.

Dengan langkah ini, ia akan menjadikan sesuatu organisasi lebih bertanggungjawab, dan pada masa yang sama mengambil langkah lebih baik dalam melindungi data pengguna. Secara tidak langsung juga, hal ini akan membawa kepada peluang kerja baharu dalam arena pengurusan serta perlindungan data.

Buat masa ini, ia masih pada peringkat penilaian dan pertimbangan. Keperluan pegawai perlindungan data dalam organisasi ini adalah antara cadangan untuk pindaan terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi (2010). Pindaan untuk akta ini dijangka dibawa ke Parlimen seawal Oktober 2023 ini, atau pada Mac 2024 kelak.

Selain itu, kerajaan juga bakal membentangkan Rang Undang-Undang Keselamatan Siber pada akhir tahun ini, dalam terus mengukuhkan arena keselamatan siber Malaysia daripada pelbagai ancaman.

Komen