Kepada pengguna Tweetdeck hari ini ialah hari yang menyedihkan kerana klien popular Twitter ini tidak lagi boleh digunakan secara percuma. Seperti yang telah dijanjikan oleh X bulan lalu, Tweetdeck memerlukan langganan X Blue untuk digunakan. Jika Tweetdeck diakses oleh pengguna tanpa langganan Blue, akan terpampang imej di bawah.
Tweetdeck juga telah dijenamakan semula sebagai X Pro bermula hari ini. Penjenamaan semula dilakukan bagi menyelaraskan nama produk yang tidak ingin lagi dikenali sebagai Twitter. Tindakan Elon Musk yang mengenakan bayaran ke atas perkhidmatan yang dahulunya percuma tidak menerima reaksi yang positif daripada pengguna. Kami sendiri sebagai pengguna Tweetdeck lebih sedekad telah melanggan kepada Blue semata-mata untuk menggunakan X Pro.