Bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman pengguna Xbox Live, Microsoft hari ini mengumumkan sistem mata kesalahan ke atas pengguna. Bergantung kepada bentuk kesalahan yang dilakukan di dalam platform, pengguna akan diberikan mata seperti pada lesen memandu.
Kesalahan kecil akan diberikan satu mata yang menyebabkan akses kepada ciri sosial Xbox seperti pemesejan, permainan atas talian dan party digantung selama sehari. Untuk kesalahan lebih besar sehingga empat mata akan diberikan dengan akses kepada ciri atas talian dihalang selama seminggu.
Satu mata diberikan untuk kesalahan menggunakan kata-kata kesat dan penipuan. Dua mata diberikan untuk kesalahan gangguan seksual dan buli. Kesalahan membabitkan perkauman pula akan menerima tiga mata.
Setiap pemain diberikan had sehingga lapan mata sahaja setahun dan jika ia dilanggar ciri atas talian mereka akan digantung pula selama setahun. Mata demerit yang diterima akan kekal selama enam bulan sebelum dipadam. Dengan sistem ini Xbox berharap komuniti yang lebih selamat dan tenteram dapat dinikmati oleh semua pengguna.