Cari @ Amanz

Dua dekad lalu untuk mendengar muzik terkini kita perlu rajin mendengar radio. Dengan penstriman, algoritma menjadi raja menggantikan DJ yang selama ini menjadi penentu. YouTube Music hari ini melancarkan ciri baharu Samples yang menyarankan lagu-lagu baharu menerusi klip pendek sepanjang 30 saat.

Tab Samples diletakkan pada bahagian bawah aplikasi YouTube Music. Apabila ditekan, lagu baharu akan disarankan dalam klip sepanjang 30 saat. Lagu yang disarankan ini diberikan mengikut sejarah lagu-lagu yang pernah distrim sebelum ini. Untuk mendengar saranan seterusnya pengguna boleh melakukan tatalan ke atas seperti di dalam TikTok.

Jika lagu yang disarankan menarik minat ia boleh distrim secara penuh, ditonton videonya, disimpan dalam senarai main atau menggunakan lagu dalam Shorts menerusi pilihan pada skrin.

TikTok telah terbukti berjaya tempat artis boleh memperkenalkan lagu baharu mereka. Maka tidak mengejutkan ciri Samples ini mengambil inspirasi daripada TikTok. Samples boleh digunakan semua pengguna YouTube Music hari ini.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd