Carian
Ulasan Razer Blackshark V2 Pro 2023 – Ada Gaya, Mutu Dan Keunggulan
August 17, 2023 Effi Saharudin

Jenama peranti gaming Black Shark telah berkubur tahun lalu selepas tiada lagi peranti baharu ditawarkan ke pasaran. Walaupun telefon ini sudah berkubur, nama Blackshark kini terus digunakan di arena gaming menerusi Razer Blackshark V2 Pro 2023 Edition yang merupakan model kemas kini kepada V2 Pro asal yang dilancarkan dua tahun lalu.

Bagi yang ingin membelinya tarikan utama ialah sokongan untuk gaming dan akhirnya tambatan secara bluetooth. Adakah ini menjadikannya berbaloi? Ini ulasan penuh kami untuk Razer Blackshark V2 Pro 2023 Edition.

SPESIFIKASI

Razer Blackshark V2 Pro 2023
JenisFon telinga belakang tertutup
Pemandu50mm Razer TriForce Titanium
Mikrofon1 mikrofon tangkai boleh tanggal
Bateri70 Jam
Port pengecasUSB-C
Pengecasan nirwayarTiada
SambunganHyperspeed 2.4GHz
Bluetooth 5.2
Sistem operasi disokongPC
Mac
PlayStation 4
PlayStation 5
Android
iOS
Sokongan pembantu mayaTiada
Butang kawalanFizikal
Kemampuan kalis airTiada
Harga Jualan RM 1029

REKAAN Dan PENGGUNAAN

Dari segi rekaan ia sama sahaja dengan Blackshark V2 Pro sebelum ini. Ini bukanlah perkara negatif kerana rekaan model sebelum ini memenangi beberapa anugerah dari segi keselesaan, kemasan dan kemudahan ia digunakan. Benda pertama yang kami suka mengenai V2 Pro 2023 ialah ia kelihatan seperti set kepala yang dipakai oleh juruterbang. Dua cawan plastik menutup keseluruhan telinga dengan selesa. Kemasannya tidak berkilat maka tidak begitu licin

Pada cawan kiri terdapat tombol kawalan audio yang besar, butang kuasa, butang membisukan mikrofon, port pengecasan USB-C dan bicu 3.5mm untuk mikrofon. Mikrofon pada V2 Pro adalah dari jenis “boom” yang mudah dilentur. Apabila tidak ingin digunakan pemilik boleh menanggalkannya dengan mudah. Butang kuasa mempunyai fungsi sekunder sebagai butang kawalan muzik. Tekan sekali untuk main/jeda muzik, dua kali untuk menukar lagu ke hadapan dan tekan tiga kali untuk ke belakang.

Sementara itu pada cawan kanan pula terdapat butang pratetapan audio dan apabila ditekan lama akan memulakan proses tambatan bluetooth. Ini ialah perubahan paling ketara pada V2 Pro 2023 kerana akhirnya menyokong bluetooth. Sebelum ini ia sekadar menyokong tambahan radio 2.4GHz.

Span yang tebal dan selesa digunakan pada cawan telinga. Terasa seperti bantal empuk dengan telinga tidak terkepit. Span yang digunakan juga empuk membuatkan ubun-ubun kepala langsung terasa tidak ditekan. Sambungan kepada telinga adalah kedap tetapi tidak cukup bagus untuk menghalang suara rakan sepejabat yang berborak.

Di bahagian atas pula gelung yang menyambungkan kedua-dua cawan telinga yang diperbuat daripada logam. Kami pada awalnya sedikit risau dengan mekanisme laras saiz gelung kepala ini tetapi selepas lebih sebulan digunakan kami tidak menghadapi sebarang masalah. Ia cukup keras untuk mengekalkan saiz gelung tetapi cukup lentur untuk tidak membuatkan gelung ini mengepit kepala dengan kuat seperti ragum.

V2 Pro adalah sepasang fon kepala yang cukup selesa untuk dipakai. Tiada isu untuk memakainya sepanjang hari. Ini jarang sekali kami nikmati pada fon kepala jenis over ear kerana selalunya telinga akan berpeluh-peluh. Lebih penting sekali kepala tidak terasa terkepit sehingga menyakitkan.

Proses menambat menggunakan bluetooth dan Razer Lighspeed 2.4 GHz adalah cukup mudah. Sambung, tekan dan tunggu notifikasi “connected” dibisikkan oleh V2 Pro ke telinga. Isu di sini ialah dongel 2.4Ghz Hyperspeed yang disertakan hanya menyokong sambungan USB-A. Maka sambungan ke PC dan PlayStation 4/5 adalah mudah tetapi jika anda tiada port USB-A dongel ini tidak boleh digunakan.

Bercakap mengenai sambungan, V2 Pro hanya menyokong Android, iOS, PC, PS4 dan PS5 sahaja pada waktu ini secara rasmi. Tiada sokongan untuk Xbox yang kami rasakan sedikit aneh kerana ia antara konsol utama dunia.

Seperkara lagi yang kami rasakan agak merugikan ialah V2 Pro 2023 tidak lagi menyokong sambungan berwayar menggunakan kabel 3.5mm. Jika anda menaiki kapal terbang, tiada ada cara untuk menggunakan V2 Pro 2023 dengan sistem hiburan dalam kabin pesawat.

KUALITI AUDIO

Kualiti audio adalah amat memuaskan untuk sesi permainan video, menonton filem, mendengar lagu, menstrim pod siar atau melakukan panggilan suara. V2 Pro amat fleksibel kerana terdapat mod pratetapan terbina yang boleh diubah sendiri oleh pemakai dengan menekan butang fizikal pada cawan telinga kanan. Pratetapan yang diberikan ialah Music, Game, Movie dan Custom.

Kerana V2 Pro dipasarkan kepada golongan gamer kami ulas dulu prestasinya untuk permainan video. Jawapan pendeknya ialah amat cemerlang. Dalam permainan FPS seperti CS GO dan Call of Duty: Black Ops Cold War bunyi tapak kaki musuh di dalam peta dapat didengar dengan jelas. Dentuman bom yang dilontar serta senapang yang menembak diasingkan dengan baik daripada suara ahli pasukan yang memberikan arahan.

Ia bukan sahaja serasi digunakan untuk permainan FPS tetapi juga Platformer dan Open World. Dalam permainan GTA V misalnya kami suka bunyi ambien persekitaran dan orang ramai bercakap kedengaran realistik. Boleh dengar arah bunyi datang dari mana serta ia sayup-sayup hilang.

Apabila ada babak sinematik, terasa seperti menonton filem kerana kualiti audio daripada pemandu audio 50mm Razer TriForce Titanium pada V2 Pro ini tidak mengecewakan. Maka tidaklah mengejutkan apabila menonton atau menstrim video audionya adalah memuaskan.

Kelemahan mungkin hanya terletak apabila mendengar muzik sahaja. Walaupun dalam mod Music audio tidak begitu menyerlah. Bagi yang melakukan tambatan bluetooth kami rasakan kualiti muzik juga tidak sebaik fon kepala bluetooth yang kami ulas sebelum ini. Mungkin kerana tiada sokongan LDAC. Apakah codec yang disokong juga misteri kerana tidak disenaraikan oleh Razer di laman rasmi. Kami tidak salahkan Razer di sini kerana V2 Pro 2023 tidak dipasarkan sebagai fon kepala untuk golongan audiophile.

MIKROFON

Mikrofon yang digunakan adalah amat baik kerana kualiti percakapan yang kedengaran jelas oleh rakan sepasukan ketika kami dalam sesi MP dalam permainan atas talian. Selalunya bunyi suara kami kedengaran kurang jelas. Dengan V2 Pro hadir dengan mikrofon berkualiti tinggi dan boleh dilaraskan terus di hadapan mulut, isu suara tidak cukup kuat atau jelas tidak berlaku.

Perisian Razer Synapse boleh digunakan untuk memperincikan lagi kepekaan mikrofon. Mahu letakkan had audio? Mahu beri tumpuan keterangan suara ketika bercakap? Mahu ubah frekuensi yang ditangkap? Kesemua ini boleh diubah secara granular oleh pemilik V2 Pro 2023.

PERISIAN

Perisian Razer Synapse akan dipasang secara automatik sejurus selepas dongel Hyperspeed dipasang pada PC. Proses memasangnya agak lama dan leceh sekitar 15 minit bergantung kepada kelajuan internet pengguna. Selepas dipasang pelbagai ciri tambahan boleh diaktifkan.

Kami gemarkan mod menyimpan tetapan equaliser untuk mod Game, Movie, Music dan Custom. Apabila ditetapkan, profil akan disimpan pada V2 Pro. Maka jika tetapan dilakukan pada PC ia juga. boleh digunakan pada Mac, Android, iOS dan PS5. Ini adalah penting kerana perisian Synapse hanya disokong pada PC.

Pada perisian ini juga terdapat mod untuk esukan dan mengakses beberapa pratetapan untuk permainan popular seperti CS:Go, Call of Duty, Apex Lagend dan Fortnite. Maka bagi mereka yang tidak suka menggodek tetapan equaliser untuk permainan ia telahpun tersedia.

Terdapat juga demo untuk THX tetapi kami rasakan ia tidak begitu ketara sangat dalam penggunaan harian. Kami hanya berharap akan ada aplikasi Synapse untuk peranti pintar kerana aplikasi Razer Audio yang ada sekarang tidak menyokong V2 Pro 2023 walaupun ia telah terjual lebih tiga bulan.

BATERI

Sepanjang sekitar seminggu kami hanya mengecas sebanyak sekali sahaja kerana bateri V2 Pro 2023 diiklankan boleh bertahan sehingga 70 jam. Ini jika muzik ditetapkan pada tahap agak tinggi dan menggunakan bluetooth sepanjang masa. Ini adalah hayat penggunaan yang jauh lebih baik berbanding V2 Pro yang hanya boleh bertahan sehingga 24 jam sahaja.

Ini membolehkan V2 Pro 2023 digunakan juga untuk perjalanan jauh tanpa perlu risau kehabisan bateri. Pengecasan semula adalah menerusi port USB-C yang adalah penaiktarafan daripada mikro USB pada V2 Pro. Tetapi waktu pengecasan adalah amat perlahan kerana lebih tiga jam. Apabila kehabisan bateri V2 Pro langsung tidak boleh digunakan kerana tidak menyokong sambungan berwayar 3.5mm.

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian di Malaysia.

  • 1x Razer Blackshark V2 Pro 2023
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
  • 1x Kabel tambahan USB-A ke USB-A
  • 1x Mikrofon jenis tangkai.
  • 1x Dongel Razer Hyperspeed.

KESIMPULAN

Razer Blackshark V2 Pro 2023 ada gaya. Ia nampak seperti peralatan ketenteraan dan bukan sekadar sepasang fon kepala. Ini mungkin sebab ia menjadi pilihan beberapa pasukan esukan profesional. Apabila dipakai, atlet nampak seperti anggota pasukan khas tentera yang memburu musuh.

Ia ada mutu kerana binaannya premium, dan selesa. Walaupun dipakai berjam lamanya kami tidak terasa seperti kepala disepit yang merupakan isu biasa fon kepala untuk gaming. Span pada cawan telinga terasa empuk dan masih membenarkan telinga “bernafas” yang mengelakkan masalah telinga berpeluh.

Akhir sekali ia juga mempunyai keunggulan dari sudut audio. Mampu memberikan pengalaman seperti berada dalam dunia permainan video atau filem yang ditonton. Terdapat pelbagai mod yang membolehkan audio diubah mengikut kandungan yang sedang dinikmati. Perisian Razer Synapse juga membolehkan tetapan diperibadikan sementara mikrofonnya pula paling jelas pernah kami gunakan pada sebuah fon kepala gaming.

Pada harga RM1029 sepasang ia memang agak mahal. Tetapi kami rasakan ia berbaloi dibeli bagi mereka yang mencari fon kepala gaming yang selesa, bertahan lama baterinya dan menawarkan pengalaman audio yang amat memuaskan.

Pro

  • Terasa ringan dan amat selesa di atas kepala.
  • Kualiti audio yang amat memuaskan.
  • Mikrofon jelas dengan ia boleh ditala mengikut keperluan.
  • Hayat bateri 70 jam yang amat panjang.
  • Sokongan tambatan 2.4GHz dan bluetooth.
  • Disokong PC, Mac, iOS, Android dan PlayStation.

Kontra

  • Tiada sokongan sambungan berwayar.
  • Tidak menyokong Xbox Series X.
  • Tempat simpanan tidak diberikan.
  • Pengecasan mengambil masa hampir 4 jam.
Komen