Carian
Google Dilaporkan Sedang Bangunkan AI Generatif Untuk Nasihat Hidup, Pengajaran Dan Perancangan
August 16, 2023 Aman

Google mempunyai bahagian pembangunan memfokuskan kecerdasan buatan, dinamakan DeepMind. Terbaru, ia dilaporkan DeepMind sedang membangunkan sebuah sokongan kecerdasan buatan yang boleh membantu dalam mengajar, merancang, malah memberikan nasihat hidup.

Mengikut laporan NYT, Google melantik lebih 100 lepasan PhD dalam projek berkenaan, termasuk untuk menguji kecerdasan buatan dalam memberikan jawapan kepada sejumlah persoalan melibatkan kehidupan.

Google Bard

Antara soalan yang diuji termasuk nasihat melibatkan perhubungan, dan juga bagaimana menguruskan konflik dalaman.

Selain melibatkan nasihat hidup, kecerdasan buatan tersebut juga sedang dibangunkan dengan ciri yang boleh membantu mengajar seseorang dalam terus menambah baik bakat sedia ada, atau mempelajari perkara baharu.

Disamping itu, ciri tambahan lain yang turut sedang dibangunkan adalah kebolehan untuk membantu dalam melakukan perancangan – termasuk untuk merancang belanjawan harian, jadual harian, dan sebagainya.

Buat masa ini, Google masih pada peringkat pembangunan dan ujian untuk ciri-ciri baharu kecerdasan buatan ini. Ia tidak diketahui lagi bilakah Google akan memperkenalkan ciri ini kepada umum. Pada hari ini, arena kecerdasan buatan sedia menjadi perhatian ramai, termasuk bagaimana ia memberikan jawapan yang memberi kesan pada kehidupan harian manusia. Sebelum ini, beberapa kali ia telah diperkatakan kecerdasan buatan tiada jiwa, serta mungkin membawa kepada kesan buruk kepada kesihatan.

Apa pun, sama-sama kita nantikan perkembangan seterusnya dalam arena kecerdasan buatan ini, dan bagaimana ia akan terus membantu dalam memudahkan kehidupan harian manusia seluruh dunia.

Komen