Carian
ASUS Vivobook S 15 OLED BAPE Edition Hadir Di Pasaran Tempatan Pada Harga RM6499
August 17, 2023 Nazrin

ASUS ialah sebuah jenama yang cukup gemar sekali berkolaborasi dengan pelbagai jenama gaya hidup dan juga nama-nama dalam industri kreatif, sesuai sekali dengan penjenamaan In Search of Incredible mereka.

Terkini, ASUS telah bekerjasama dengan jenama fesyen dari Jepun, A Bathing Ape, atau lebih dikenali sebagai BAPE. Jenama ini cukup terkenal untuk maskot gorila mereka dan juga rekaan pakaian yang mempunyai corak “camo” dengan pelbagai pilihan warna yang menarik.

Kedua-dua syarikat ini bekerjasama untuk membangunkan sebuah komputer riba dengan rekaan corak ikonik BAPE, iaitu ASUS Vivobook S 15 OLED BAPE Edition. Dari segi spesifikasi, komputer riba ini dilengkapi paparan skrin OLED bersaiz 15.6 inci dengan resolusi 2.8K (2880×1620) dan kadar segar semula 120Hz bersama-sama kebolehan mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3.

ASUS Vivobook S 15 OLED BAPE Edition ini juga hadir dengan satu konfigurasi spesifikasi dalaman, iaitu CPU Intel Core i9-13900H, memori LPDDR5 sebanyak 16GB dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 1TB. Dengan spesifikasi ini, komputer riba ini juga dinamakan sebagai sebuah komputer riba Intel Evo, iaitu komputer riba yang hadir dengan spesifikasi berkuasa dalam rekaan yang serba nipis dan ringan.

Keunikan komputer riba edisi terhad ini hadir dari rekaan corak dan juga penawaran aksesori-aksesori bertemakan BAPE. Di komputer riba, ia dapat dilihat bahawa rangka di belakang paparan mempunyai rekaan camo unik BAPE, termasuklah pada permukaan pad sesentuh dan juga logo BAPE pada sisi tempat letak tangan komputer riba ini.

Dari segi aksesori, ASUS dilihat menawarkan kotak komputer riba berwarna “camo green” dan “camo blue” yang mengikut tema warna untuk dua model komputer riba ini. Aksesori-aksesori yang diberikan termasuklah begpenyimpanan komputer riba, pelekat-pelekat bertemakan BAPE, tetikus ASUS Marshmallow dengan rangka yang boleh ditukar dan anak patung Baby Milo, yang merupakan maskot untuk jenama BAPE.

ASUS Malaysia mengatakan bahawa komputer riba ASUS Vivobook S 15 OLED BAPE Edition ini sudahpun boleh dibeli di pasaran tempatan pada harga RM6499 melalui kedai atas talian ASUS Malaysia bermula hari ini dengan pilihan warna Black Midnight dengan kotak dan aksesori bertemakan warna Green Camo dan Cool Silver dengan kotak dan aksesori bertemakan warnaBlue Camo.

Walaupun begitu, mereka juga mengesahkan bahawa mereka hanya akan membawa masuk komputer riba ini dengan jumlah yang sangat terhad, jadi anda akan perlu bertindak cepat untuk mendapatkannya.

Komen