Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini mengingatkan orang supaya tidak berkongsi video atau gambar mangsa tragedi kapal terbang peribadi terhempas yang berlaku di Elmina semalam.
Dalam tragedi ngeri ini, 10 individu terkorban terdiri daripada 2 juruterbang, 6 penumpang dan dua lagi pengguna jalan raya selepas pesawat menjunam ketika dalam proses mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah selepas memulakan perjalanan dari Langkawi.
SKMM mengingatkan orang ramai kepentingan menghormati dan menunjukkan empati yang tinggi. Berkongsi gambar mahupun rakaman video mangsa nahas berkenaan bukan sahaja boleh menyinggung perasaan keluarga mangsa malah melanggar prinsip serta etika yang paling asas. Adalah penting untuk semua individu untuk membuat pertimbangan sewajarnya dengan menurunkan gambar mangsa tragedi dan tidak menyebar atau berkongsi lanjut kandungan berkenaan.
Sebarang perkongsian melibatkan gambar atau video mangsa tragedi dan mana-mana pihak yang terlibat boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.