Oppo telah mula mengacah kehadiran peranti boleh pakai baharu Watch 4 Pro di China. Beberapa ciri utama juga telah dikongsi yang menunjukkan cip Snapdragon W5 Gen 1 yang dibina bersama BES2700 akan digunakan sebagai tunjang utama. Konfigurasi dwi-chipset ini bermakna jam tangan bukan sahaja boleh menawarkan prestasi yang baik, malahan turut dinaiktaraf dari segi kecekapan kuasa.

Seterusnya ia juga akan dilengkapi papan LTPO AMOLED yang juga menawarkan ciri Always On Display untuk paparan sentiasa aktif. Naiktaraf turut dilakukan pada sensor terbina yang dikatakan mampu mengoptimumkan algoritma untuk bacaan lebih baik. Ini termasuklah sensor SpO2 16 saluran, sensor suhu kulit dan ECG.

Turut melengkapi jam tangan ini adalah memori 2GB RAM, di samping kebolehan eSIM yang membenarkan pengguna melakukan banyak perkara dengan jam tangan ini. Ia juga dijangka menawarkan bateri 570mAh yang sepatutnya boleh bertahan lama bersama tubuh yang diperbuat daripada keluli tahan karat dan seramik.

Walaupun sudah diacah di dalam poster rasmi, tarikh pelancaran jam tangan pintar ini masih belum diumumkan.