Carian
Rekaan Dan Spesifikasi Kamera Aksi GoPro Hero 12 Black Tertiris
August 21, 2023 Amy Maizuraa

Tidak dinafikan bahawa kamera aksi lasak GoPro mempunyai kelompok peminat tersendiri. Ini disebabkan oleh jaminan penghasilan semula gambar dan video yang berkualiti. Dalam masa sama saiz dan rekaan yang kompak juga sudah tentu memudahkan penggunaan sewaktu aktiviti.

Kini muncul beberapa gambar tular untuk kamera aksi lasak generasi baharu GoPro Hero 12 Black menerusi perkongsian Winfuture. Rekaanya dilihat menyerupai model sebelum dengan tubuh yang kompak bersama sokongan dwi-skrin yang diletakkan di bahadapan dan belakang. Turut diperkatakan bahawa tiada perubahan yang jelas dari segi saiz dan berat, cumanya ikon nombor kelak akan diubah menjadi 12 yang dilihat selari dengan generasi kamera itu sendiri.

Seterusnya ia juga dipercayai hadir dengan sejumlah besar perisian dan perkakasan dalam yang sama. Ini termasuklah sensor 27MP yang menyokong warna 10-bit HDR dan rakaman sehingga resolusi 5.3K/60fps. Namun besar kemungkinan sensor 1″ tidak digunakan kerana GoPro dipercayai memilih sensor 1/1.9″ untuk digunakan pada kamera ini. Turut melengkapinya juga adalah pelbagai ciri terbina seperti HyperView, Horizon Lock, HyperSmooth AutoBoost dan banyak lagi.

Meskipun begitu ini tidak bermakna kamera baharu ini tidak mempunyai sebarang penambahbaikan. Masih ada, yang mana ia dikatakan mampu menawarkan ketahanan bateri lebih panjang. Dalam masa sama sistem penstabilan 6.0 serba baharu turut akan disertakan padanya bagi tujuan rakaman lebih berkualiti.

GoPro Hero 12 Black mungkin diperkenalkan pada 13 September akan datang dengan harga jualan yang mungkin tidak jauh berbeza dengan sebelum ini.

  • Sumber – Winfuture
Komen