Bulan kemerdekaan tiba lagi dan sejak 1957 kita memperingati pengorbanan mereka yang berkorban untuk membebaskan Malaysia daripada dijajah British setiap 31 Ogos. Sambutan Hari Merdeka lazimnya adalah dalam bentuk perarakan manusia, jentera dan senjata di Dataran Mereka . Ini membuka persoalan apakah kemerdekaan yang telah dikecapi tetapi tidak diraikan oleh kita semua? Berikut ialah lima Kemerdekaan Teknologi yang tidak disambut dan mengapa kami rasakan sepatutnya diraikan.
Merdeka Daripada Wang Tunai
Kad kredit dalam bentuk semasa dicipta pada tahun 1950 dengan penawaran Diner’s Club. Sebelum itu kad yang membolehkan pembayaran tanpa wang tunai sudah wujud pada penghujung kurun ke-19. Penggunaan kad kredit masih memerlukan seseorang mempunyai rekod perbankan yang baik. Sementara kad debit pula memerlukan mesin fizikal yang tidak mampu ditawarkan oleh peniaga-peniaga kecil.
Pengenalan DuitNow di Malaysia sejak 2018 menyelesaikan isu-isu di atas. Pemilik perniagaan hanya perlu memaparkan kod QR yang diimbas menggunakan telefon pintar. Pada peringkat awal kesedaran mengenai DuitNow adalah rendah. Tetapi Covid-19 mengubah segalanya kerana jutaan rakyat Malaysia berjaya di-Pavlov-kan untuk mengimbas kod QR setiap hari. Kemerdekaan sebenar daripada perlu membawa wang tunai ini amat memudahkan urusan harian. Tiada lagi isu lupa keluarkan duit sebelum pergi ke pasar malam. Sekarang kakak penjual apam balik di pasarpun sudah menerima bayaran DuitNow asalkan ada rangkaian selular di telefon.
Merdeka Daripada Had Media Fizikal
Semasa masih muda remaja di lewat 1990an, saya bangga dengan koleksi ratusan CD dan DVD di rumah. Lagu pada CD kemudian “dirobek” dan disimpan dalam PC dalam bentuk MP3. Setiap kali sebelum melakukan perjalanan pulang untuk cuti semester dari universiti, kompilasi lagu perlu “dibakar” pada CDR terlebih dahulu. Jika kesilapan dilakukan CD tidak boleh dimainkan dan terpaksalah saya memandu dengan CD yang sudah ada dalam kereta yang mungkin sudah rosak kerana cuaca panas atau bertabah dengan lagu rawak di radio.
Kekurangan media fizikal ini tidak lagi perlu dialami oleh Generasi Z. Mereka membesar dalam dunia iTunes, Spotify dan Netflix. Katalog ratusan juta lagu, siri TV dan filem boleh distrim terus ke sistem stereo kenderaan. Tidak lagi perlu risau CD disimpan dalam kereta rosak kerana cuaca panas. Tak perlu risau juga lagu terlompat apabila terlanggar lubang di atas jalan. Generasi Z dan seterusnya sudah merdeka daripada had-had media fizikal ini.
Merdeka Daripada Terus Tak Tahu
Kita tidak pernah menyambut kemerdekaan daripada “tidak tahu”. Tiga dekad yang lalu jika anda ingin mendapat jawapan kepada sesuatu persoalan, anda perlu membuka ensiklopedia dan membacanya. Proses ini sukar kerana ensiklopedia amatlah mahal (berapa rami di kalangan pembaca membesar dengannya di rumah?) dan jika pergi ke perpustakaan pula ia tidak boleh dipinjam. Maka mengaku “saya tak tahu” adalah sesuatu yang tidaklah memalukan.
Di tahun 2023 kita sudah merdeka daripada masalah “saya tak tahu” ini. Peranti pintar di tangan boleh memberikan jawapan kepada kesemua persoalan duniawi dalam masa beberapa minit sahaja. Dengan ChatGPT, jawapan yang lebih lengkap dengan pautan sumber juga boleh diberikan bagi meningkatkan keyakinan kesahihannya. Untuk kekal menjadi ignoramus ialah pilihan peribadi bukan kerana halangan akses kepada ilmu. Maka kebebasan dari terus tak tahu ini seharusnya disambut.
Merdeka Daripada Storan Fizikal
Di zaman awal telefon mudah alih menjadi kebiasaan inbox SMS dipadam sebelum Hari Raya, tahun Baru dan sebarang perayaan utama. Ini sebagai persediaan menerima hujan SMS daripada sanak saudara serta rakan taulan. Terdapat juga had 255 nombor telefon yang boleh disimpan dalam kad SIM. Bilakah kali terakhir anda memadam storan SMS? Bila pula kali terakhir anda terfikir apakah had nombor telefon yang boleh disimpan?
Saya tidak mempunyai sebarang memori melakukan dua perkara ini sejak 14 tahun yang lalu. Selain itu kita juga bebas daripada had saiz storan peranti sejak mula melanggan kepada storan awanan. Yang perlu dijaga sekarang hanyalah had storan awanan dan harga langganan bulanannya pula.
Merdeka Daripada Kejutan Bil
HTC HD7 ialah telefon pintar pertama yang saya ulas di awal kerjaya sebagai penulis. Di zaman awal 3G saya tidak tahu bagaimana untuk menghadkan penggunaan data. Akibatnya bil telefon meningkat ke lebih RM300 sebulan semasa mengulas peranti ini. RM300 bukanlah jumlah yang begitu besar jika dibandingkan dengan pelbagai kes pengguna dikenakan bayaran ribuan ringgit oleh syarikat telekomunikasi selepas tersilap mengaktifkan perayauan data ketika bercuti di Eropah.
Isu kejutan bil menjadi bualan ramai sehingga ada beberapa syarikat telko yang menggunakan terma “tiada lagi kejutan bil” untuk mengiklankan pelan data terbaru mereka. Sekarang kita boleh melihat berapa jumlah data yang telah digunakan secara masa nyata. Notifikasi diberikan jika penggunaan tinggi dikesan. Dengan membayar bawah RM100, anda kini boleh menggunakan data 5G tanpa had selama sebulan jika perayauan diaktifkan di telefon. Kemerdekaan daripada kejutan bil ialah satu lagi perkara yang seakan dilupakan.
Selamat Menyambut Hari Merdeka kepada semua rakyat Malaysia. Albert Einstein pernah berkata “Semua yang hebat dan memberi inspirasi dicipta oleh individu yang boleh bekerja dalam kebebasan.” Maka gunakan teknologi untuk membebaskan diri daripada belenggu yang menghalang kita mencapai potensi sebenar.