Kecerdasan buatan (AI) generatif memberikan cabarkan kepada pemilik harta intelek apabila karya mereka digunakan dalam latihan model. Dengan isu ini dilihat akan menjadi semakin meruncing, YouTube mengumumkan kerjasama dengan Universal Music Group (UMG) untuk membangunkan AI generatif yang boleh menjana muzik dan video tetapi menghormati pemilik harta intelek (IP) asal.
YouTube akan melakukan kerjasama dengan artis seperti Anitta, Björn Ulvaeus, Ryan Tedder, Juanes, estet Frank Sinatra dan banyak lagi bagi menubuhkan Inkubator AI Muzik YouTube. Inkubator ini akan membantu YouTube mencari jalan terbaik membangunkan AI yang mengambil kira kepentingan artis, penulis lagi dan penerbit muzik.
Antara dalam perancangan ialah sistem Content ID YouTube yang diperkasakan oleh AI. Ia boleh mengesan karya muzik AI yang dimuat naik dan mengesan sama harta intelek artis telah digunakan tanpa kebenaran. Sekiranya ini berlaku, pemilik IP masih boleh mendapat bayaran yang setimpal. Selain itu kandungan video yang telah dimanipulasi menggunakan AI juga boleh dikesan.
Isu tular awal tahun ini ialah apabila lagu yang dijana AI menggunakan suara penyanyi The Weekend dan Drake telah dimuat naik ke YouTube. Kedua-dua artis ini terpaksa menulis surat kepada YouTube bagi memadamnya atas sebab pelanggaran IP. Sistem Content ID pada waktu ini tidak boleh mengesan karya dijana AI maka video tersebut tidak dipadam secara automatik.