Carian
Realme GT5 Adalah Peranti Pertama Dunia Dengan “Kaca Ajaib”
August 22, 2023 Fahim Zahar

realme GT5 adalah peranti mercu baharu realme yang akan dilancarkan pada 28 Ogos nanti. Peranti ini dikatakan akan mengubah sejarah industri telefon pintar kerana didakwa menggunakan bahan binaan baharu. Malah sebelum ini ada kami laporkan yang pembekal berang dengan realme kerana tekstur peranti yang sukar dihasilkan.

Terbaru, pengurus pemasaran realme China iaitu Chuchu Jessie berkongsi menyatakan GT5 adalah peranti pertama dunia dengan panel belakang Miracle Glass. Jika benar kaca ini adalah “kaca ajaib” apa yang boleh dilakukan olehnya?

Poster rasmi vs Imej pengolokan tertiris

Berdasarkan perkongsian di Weibo, realme mengacah sesuatu berkaitan benda boleh berubah. Mungkin kaca boleh bertukar warna? Mungkin tekstur khas yang memberi kekuatan tambahan? Atau hanya gimik semata-mata? Imej tertiris peranti ini memperlihatkan rekaan skrin yang hampir nirbingkai penuh kerana bezel yang ultra nipis.

Sementara rekaan belakang peranti ini kelihatan sama dengan Google Pixel 7 Pro. Sama-sama kita nantikan 28 Ogos akan datang untuk mengetahui apakah kejutan yang realme bakal bawakan.

Komen