ASUS terkenal dengan komputer riba di bawah siri ExpertBook yang direka khusus bagi memenuhi keperluan golongan professional dalam bidang perniagaan. Hal ini boleh dilihat dengan jelas menerusi ciri dan fungsi ditawarkan yang sebahagian besarnya boleh dikaitkan dengan konsep kecekapan, keberkesanan dan kualiti.

Terbaharu ASUS ExpertBook B5 OLED dan ASUS ExpertBook B5 Flip OLED telah mula ditawarkan di Malaysia sekaligus melengkapkan lagi segmen peranti berkenaan. Anda yang berminat boleh mendapatkannya dengan harga RM7,699 untuk ExpertBook B5 Flip OLED, kemudiannya meningkat kepada RM8,099 (Intel Iris Xe) dan RM8,499 (Intel Arc A350M) untuk ExpertBook B5 OLED.

Untuk spesifikasi kedua-dua komputer riba menggunakan skrin sebesar 16″ OLED beresolusi WQUXGA (3840 x 2400 piksel) dan kadar segar semula 60Hz. Skrin turut menyokong gamut warna sRGB 100%, kecerahan puncak 400nits, bernisbah aspek 16:10 dan melepasi pensijilan TUV Rheinland. Kelebihan diberikan pada versi Flip yang dilengkapi engsel boleh dipusingkan sehingga 360 darjah, dalam masa sama turut menyokong skrin sesentuh dan stylus.

Terdapat dua pilihan CPU diberikan iaitu cip Intel Core i7-1360P digunakan pada ExpertBook B5 OLED, seterusnya ExpertBook B5 Flip OLED pula dijana dengan cip Intel® Core i7-1270P. Padanan GPU juga berbeza mengikut model yang terdiri dengan Intel Arc A350M atau Intel Iris Xe. Memori 8GB LPDDR5 Dual-Channel dan storan dalaman mencapai 512GB M.2 PCIe 4.0 SSD juga diberikan melengkapkan lagi komputer riba ini.

Lain-lain spesifikasi termasuklah Windows 11 Home/Pro, sokongan bluetooth 5.3, bateri sehingga 84Wh dan kamera web beresolusi FHD. Pilihan I/O yang tersedia pula merangkumi 2 x Thunderbolt 4 USB-C, 1 x USB 3.2 Gen 2 Type-A, 1 x USB 3.2 Gen 1 Type-A, 1 x RJ45, 1 x HDMI V2.1, 1 x bicu audio, 1 x Micro SD slot dan 1 x Kensington nano lock slot.