Brave, salah satu pelayar web popular yang digunakan ramai, kini mengumumkan pengenalan integrasi pembantu maya berasaskan kecerdasan buatan, dinamakan Leo.
Leo boleh membantu pengguna dalam beberapa perkara, termasuk memudahkan untuk meringkaskan sesuatu halaman yang sedang dilayari, menghasilkan transkrip video yang ditonton, selain turut menjawab pelbagai soalan yang ditanya padanya.

Brave menggunakan model Llama 2 yang ditawarkan secara sumber terbuka oleh Meta. Brave turut menekankan mereka tidak menyimpan sebarang perbualan bersama kecerdasan buatan, dan kekal memfokuskan kepada privasi – salah satu perkara yang terkenal dengan pelayar web mereka.
Buat masa ini, Leo telah diintegrasikan pada versi pembangunan desktop, dan dijangka diperkenalkan pada saluran stabil tidak lama lagi.