NVIDIA baru-baru ini telah memperkenalkan kemaskini untuk teknologi grafik Deep Learning Super Sampling (DLSS) mereka yang menggunakan kuasa kecerdasan buatan untuk membolehkan pengguna memainkan permainan-permainan komputer kegemaran mereka pada resolusi tinggi,
Secara ringkasnya, DLSS akan mengolah permainan pada resolusi rendah dan kemudiannya menggunakan kecerdasan buatan untuk mengolah grafik dan juga bingkai tambahan pada resolusi yang lebih tinggi, mengurangkan beban terhadap kad grafik untuk mengolah permainan pada resolusi dan tetapan tinggi.
Dengan DLSS 3.5, NVIDIA dilihat memperkenalkan sebuah teknologi olahan grafik yang dinamakan Ray Reconstruction yang akan memanfaatkan bukan sahaja permainan yang menggunakan teknologi ray-tracing untuk menambahkan kualiti pada sebahagian permainan mereka, tetapi juga untuk permainan-permainan komputer yang menggunakan olahan grafik path-tracing yang menggunakan olahan ray-tracing untuk keseluruhan olahan grafik permainan tersebut.
Olahan ray-tracing yang asal menggunakan sesuatu yang dipanggil denoiser untuk mengisi kekosongan didalam ruang piksel sesebuah bingkai grafik. Kelemahan utama teknik ini ialah olahan warna, pencahayaan dan juga boleh menyebabkan isu ghosting dalam permainan.
Dengan DLSS 3.5, NVIDIA dilihat telah memperbaiki teknologi kecerdasan buatan mereka untuk membolehkannya mengolah piksel dengan kualiti yang lebih tinggi tanpa perlu bergantung kepada fungsi denoiser tersebut.
Kelebihan utama DLSS 3.5 juga adalah tidak seperti ciri Frame Generation yang hanya boleh digunakan pada kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4000 keatas, DLSS 3.5 boleh dimanfaatkan oleh semua kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2000 dan keatas tanpa sebarang masalah. Ini membolehkan mereka yang belum menaiktaraf kad grafik mereka untuk memanfaatkan teknologi baru ini tanpa perlu membelanjakan banyak wang.
DLSS 3.5 akan diperkenalkan oleh NVIDIA sekitar musim luruh tahun ini, dan akan diperlihatkan melalui beberapa permainan komputer seperti Cyberpunk 2077: Phantom Liberty, Alan Wake 2 dan Portal with RTX.