Pada harga RM2499 sepasang, Apple AirPods Max ialah set kepala yang mahal di Malaysia. Kerana ia produk premium, pemilik mempunyai harapan ia lebih tahan lasak berbanding fon kepala murahan. Tetapi menurut laporan 404 Media, terdapat sebilangan pemilik AirPods Max merungut kerana fon kepala mereka mengalami kerosakan akibat peluh.
Telinga yang berpeluh disebabkan oleh cawan telinga yang kedap dikatakan punca AirPods Max gagal berfungsi. Air peluh yang mengalir ke dalam bahagian pemandu audio menyebabkan ia mengalami kerosakan. Isu ini lebih serius pada AirPods Max kerana bahagian cawan telinga diperbuat daripada aluminium.
Ia tidak membenarkan udara panas keluar daripada bahagian dalaman cawan telinga. Udara panas ini apabila bertemu dengan tubuh aluminium akan berubah menjadi titisan air yang kemudiannya terkumpul. Apabila ia tersentuh komponen elektronik, kerosakan serius boleh berlaku. Isu ini telah dilaporkan pemilik sejak beberapa tahun yang lalu menerusi forum rasmi Apple tetapi masih tiada penyelesaian diberikan sehingga kini.