Bukan lagi rahsia yang realme 11 5G akan dilancarkan di Malaysia pada 30 Ogos. Pada tarikh sama realme 11x turut dijangka akan dilancarkan sekali. Kedua-dua peranti ini adalah telefon pintar kelas pertengahan baharu dengan spesifikasi lebih kurang sama. Perbezaan hanyalah pada kamera dan pengecasan.

realme Malaysia sudah pun berkongsi spesifikasi penuh realme 11 5G. Ia akan hadir dengan skrin LCD 6.72″, dijana Dimensity 6100+, memori 8GB RAM (mungkin LPDDR4X) dengan storan dalaman 256GB UFS 2.2. Kamera belakang adalah 108+2 Megapixel dengan kamera swafoto 16 Megapixel. Speaker adalah mono, bateri 5000mAh dan menyokong pengecasan pantas 67W SuperVOOC.

realme 11 5G juga merupakan sebuah telefon pintar kelas pertengahan yang cuba membawakan rekaan premium. realme dijangka akan menawarkan dua warna iaitu Glory Gold dan Glory Black. Di Shopee beberapa kedai yang menjual set rasmi realme 11 5G telah pun mengambil pra-tempahan pada harga RM1199. Peranti dikatakan akan mula dihantar kepada pelanggan bermula 31 Ogos nanti.
Sama-sama kita nantikan pelancaran pada 30 Ogos nanti untuk mengetahui harga akhir serta penawaran hari pelancaran.