Carian
Grab Berkongsi Beberapa Ciri Memudahkan Tugas Dan Meningkat Pendapatan Rakan Penghantar
August 27, 2023 Rihhadatul Aisy

Grab kali ini tampil dengan inovasi produktif baharu menerusi ciri serta fungsi dalam aplikasinya yang bermatlamat untuk memberikan kepuasan penggunaan kepada rakan penghantar mereka. Langkah ini adalah bertujuan untuk mengoptimumkan masa yang diluangkan dalam aplikasi Grab dan sekaligus meningkatkan hasil pendapatan yang mampu diraih oleh rakan penghantar serta rakan pemandu.

Pertama, fokus untuk mencipta pengalaman pemanduan yang lancar buat semua rakan penghantar adalah dengan memberi tumpuan kepada aspek navigasi di mana penambahbaikan dalam sistem pemetaan GrabMaps dilakukan. Satu ciri yang ditawarkan ialah Heatmap yang menunjukkan ramalan kawasan permintaan tinggi mengikut data masa nyata dan sejarah yang dikumpulkan. Waktu menunggu sebelum mendapat tempahan akan dipaparkan kepada pemandu dalam peta.

Rakan pemandu dan penghantar yang sedang tidak bertugas turut akan menerima notifikasi mengenai kawasan permintaan tinggi sekiranya sistem mengesan mereka kerap ke lokasi tersebut. Dengan ini mereka boleh memilih untuk berkerja dan tidak ketinggalan meraih pendapatan. Ciri ini pula sedang diuji di Thailand dan Singapura.

Ciri yang pastinya menarik bagi rakan penghantar ialah Zones dimana mereka boleh menetapkan kawasan mereka ingin beroperasi selama 3-5 jam. Dengan ini tempahan dari pelanggan dalam kawasan tertentu sahaja akan diterima. Pada waktu ini ciri Zones hanya ditawarkan di Singapura sebelum dikembangkan ke Filipina pada Q4 2023.

Isu kesalahan penumpang dalam menetapkan lokasi menunggu juga tidak asing lagi dan kerap kali berlaku dalam kalangan pengguna malah perkara ini seringkali menjadi keluhan dalam kalangan rakan penghantar. Pihak Grab tidak mengambil ringan isu ini dan hadir dengar penyelesaian yang produktif iaitu ciri Share Live Location. Pengguna boleh berkongsi kedudukan sebenar mereka dengan rakan penghantar sekiranya mereka tidak pasti dengan lokasi sebenar dimana mereka berada.

Penambahbaikan ini dirasakan mampu mengurangkan pembaziran masa yang terpaksa dihadapi oleh rakan penghantar untuk mencari penumpang dan menghasilkan gerak kerja yang lebih efektif. Dalam hal ini ciri pengoptimasian mengambil penumpang di lapangan terbang akan diperkenalkan menjelang penghujung 2023. Rakan pemandu boleh melihat status beratur dan masa menanti mereka secara masa nyata di lapangan terbang.

Dengan kesemua ciri-ciri ini, Grab sudahpun melihat pengurangan 3.55% masa menanti dan peningkatan purata 10% pendapatan setiap rakan penghantar/pemandu pada tahun 2022 berbanding tahun sebelumnya

Komen