Cari @ Amanz

Setelah beberapa minggu diacahkan pelancarannya, AMD akhirnya telah melancarkan siri kad grafik kelas pertengahan mereka, yang terdiri daripada dua model kad grafik, iaitu AMD Radeon RX 7800 XT dan juga AMD Radeon RX 7700 XT.

Kedua-dua kad grafik ini dikuasakan oleh cip grafik Navi 32 yang baru, dengan cip pemprosesan grafik “Graphics Compute Die” yang dibina menggunakan proses 5nm dan empat memory cache die yang dibangunkan dengan proses 6nm.

Kad grafik AMD Radeon RX 7800 XT hadir dengan 60 Compute Unit yang terdiri daripada 3840 pemproses strim, 120 pemecut AI, 60 pemecut RT, 64MB Infinity Cache dan juga 16GB memori GDDR6. Ia mempunyai kelajuan Game Clock sepantas 2124 MHz dan Boost Clock pada 2430 MHz.

Kad grafik AMD Radeon RX 7700 XT pula hadir dengan 54 Compute Unit yang terdiri daripada 3456 pemproses strim, 108 pemecut AI, 54 pemecut RT dan 48MB memori Infinity Cache. Ia juga tampil dengan 12GB memori GDDR6 dan mempunyai kelajuan Game Clock sepantas 2171MHz dan 2544 MHz pada kelajuan lewahjam Boost Clock.

Kelebihan yang diperlihatkan pada kedua-dua kad grafik ini hadir melalui jumlah memori yang hadir, iaitu 16GB pada kad grafik Radeon RX 7800 XT dan 12GB pada Radeon RX 7700 XT.

AMD mengatakan bahawa RX 7800 XT hadir dengan kelebihan berbanding NVIDIA GeForce RTX 4070 dari segi prestasi dalam julat 2-23 peratus bergantung kepada permainan komputer pada resolusi 1440p dan tetapan tinggi.

Radeon RX 7700 XT pula dijangka mempunyai penambahbaikan berbanding NVIDIA GeForce RTX 4060Ti dalam julat 1-31 peratus bergantung kepada permainan-permainan komputer yang digerakkan.

Kedua-dua kad grafik ini akan mula dijual pada 6 September 2023 secara global, dimana AMD Radeon RX 7800 XT akan ditawarkan pada harga $499 dan AMD Radeon RX 7700 XT pada harga $449. Kad grafik ini akan ditawarkan melalui rakan pembangun kad grafik AMD seperti ASUS, MSI, Gigabyte, PowerColor, Sapphire dan sebagainya.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd