Dua peranti boleh-pakai baharu Garmin telah ditemui tertiris menerusi beberapa imej pengolokan tular. Dipanggil sebagai Garmin Venu 3 dan Venu 3S, ia boleh menjadi dua variasi dengan fokus yang sama tetapi target pengguna berbeza sama ada wanita atau lelaki.
Pada dasarnya rekabentuk yang diperlihatkan tidak jauh berbeza dengan Garmin Venu 2 Plus. Ia menggunakan kerangka jam berbentuk bulat dengan padanan tiga butang terbina pada sisi kanan. Turut kelihatan adanya pembesar suara terbina di sisi kanan yang boleh dianggap sebagai salah satu ciri standard ditawarkan oleh pengeluar peranti boleh pakai pada saat ini.
Bahagian tali pula mungkin menggunakan bahan silikon lembut yang juga dipadankan dengan cangkuk jenis standard. Dalam masa sama turut boleh ditawarkan dalam pelbagai pilihan warna termasuklah hitam dan putih yang menjadi antara warna sering ditawarkan Garmin pada peranti boleh-pakai mereka.
Membezakan kedua-duanya adalah bezel bergerigi yang digunakan pada Venu 3 namun belum dapat dipastikan sama ada boleh diputar atau sebaliknya. Sementara itu Venu 3S pula dilengkapi kerangka licik tanpa gerigi yang mungkin nampak feminin menjadikan si pemakai nampak lebih santai.
Tidak banyak butiran mengenai peranti yang diketahui buat masa ini, namun Venu 3 dijangka hadir dengan kerangka 45mm lebih besar berbanding 41mm yang bakal digunakan pada Venu 3S. Tarikh pelancaran juga masih misteri namun ada kebarangkalian ia boleh diumumkan di acara IFA 2023 mendatang.