Pandemik “sudah berakhir” menurut sebilangan besar penduduk di Malaysia dengan pemakaian pelitup muka kini semakin berkurangan. Satu perkara yang berlaku ketika pandemik ialah meningkatnya jualan tablet. Kami lakukan kesilapan membeli tablet mahal yang kini jarang sekali digunakan di rumah pasca PKP. Ramai menyedari sebenarnya tablet kelas pertengahan sudah memadai untuk keperluan harian.
Realme Pad 2 ialah tablet kelas permulaan yang kami rasakan memenuhi keperluan harian dan pada waktu yang sama tidak akan mengecewakan pembelinya sekaligus menjadikannya antara tablet paling berbaloi tahun 2023.
SPESIFIKASI
Realme Pad 2 | |
---|---|
Skrin | 11.5″ 2K, IPS LCD, 120Hz |
Pemproses | MediaTek Helio G99 (6nm) |
Cip | 2 X 2.2 GHz Cortex-A76 6 X 2.0 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Mali-G57 MC2 |
RAM | 6/8GB LPDDR4X |
Muatan Dalaman | 256/512 GB UFS 2.2 Mikro SD 1TB |
Kamera Utama | 8MP, f/2.0 Sudut Lebar |
Kamera Swafoto | 5MP f/2.2 |
Bateri | 8360 mAh Pengecasan berwayar 33W |
SIM/Telefoni | Nano/4G |
NFC | Tiada |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Tiada |
Harga Jualan | RM 1299 (6/128 GB) RM 1499 (8/256 GB) |
SKRIN
Skrin 11.5″ adalah cukup besar untuk ia digunakan dengan selesa oleh orang dewasa dan juga kanak-kanak. Dengan resolusi 2K, imej kelihatan tajam pada skrin ini membuatkannya cukup serasi digunakan untuk menonton kandungan video. Panel IPS LCD dengan kadar segar semula 120Hz mengesan setiap sentuhan dengan baik.
Ketika digunakan tiada isu ghosting yang dapat kami lihat. Sebagai sebuah pemain media mudah alih ia kami rasakan memenuhi keperluan majoriti pengguna di luar sana. Bezel semuanya sekata dan agak besar. Sekali lagi ini bukanlah isu yang besar kerana pada tablet bezel yang besar adalah perlu supaya terdapat tempat untuk meletakkan jari semasa ia dipegang.
Kelemahan skrin ini ialah kerana ia LCD, kualiti visual tidak begitu baik kecuali apabila mata bersudut tepat dengan skrin. Sendengkan kepada sedikit dan visual pada skrin mula memaparkan perubahan warna. Ia juga tidaklah begitu jelas di bawah matahari yang terik.
Seperkara lagi ialah menaip dalam kedudukan landskap dan potret tidak begitu selesa kerana skrin yang memanjang. Dalam majoriti tempoh ulasan, kami berikan Pad 2 pada anak. Dia merungut skrin terlalu besar dan sukar untuk menaip. Tetapi ini kami rasakan isu biasa apabila tablet dengan skrin besar digunakan kanak-kanak.
Akhir sekali tiada stilus disertakan dengan setiap pembelian. Stilus dari jenis sentuhan sahaja disokong oleh Pad 2. Sokongan teknologi Wacom yang boleh mengesan tekanan serta sudut condong tidak disertakan sama sekali.
REKAAN
Tiada ada yang mengejutkan ataupun di luar kotak pada rekaan tablet in. Butang laras audio diletakkan pada bahagian atas sementara butang kuasa pula pada sisi kiri. Tiada pengimbas cap jari terbina pada butang kuasa. Pad 2 sekadar menyokong sistem imbasan wajah, kata laluan dan kod laluan sebagai sistem sekuriti. Empat speaker stereo diletakkan pada sisi kanan dan kiri dengan sokongan Dolby Atmos. Pada sisi kanan yang sama, terdapat port USB-C untuk mengecas. Akhir sekali sebuah talam SIM diletakkan pada bahagian bawah.
Bingkai Pad 2 diperbuat daripada logam yang keras. Kami cuba melenturkan tubuh tablet tetapi tidak berjaya. Panel belakang juga diperbuat daripada logam dengan tekstur pada bahagian atas yang agak kasar. Tekstur ini membuatkan kami rasa lebih berani memegang tablet kerana membuatkan peranti tidak terasa licin. Jalur tekstur kasar sekitar 2 inci ini menempatkan bonggol kamera berbentuk bulat.
Terasa sedikit tertipu kerana bonggol kamera besar tetapi sekadar dilengkapi satu kamera. Memang kelihatan seperti terdapat dua lensa tetapi hanya satu sensor 8MP diletakkan di belakang. Di hadapan pula sebuah kamera 5MP digunakan. Secara keseluruhan rekaan peranti adalah menarik dan agak tahan lasak.
PENGGUNAAN Dan PERISIAN
Sistem operasi Realme UI 4.0 berasaskan Android 13 digunakan pada tablet ini. Terdapat ciri khusus tablet seperti melancarkan mod Multi Window dengan mental skrin ke bawah menggunakan dua jari serta Smart Sidebar. Sebagai sebuah tablet kami tidak mengalami sebarang isu prestasi sepanjang tempoh ulasan. Kesemua aplikasi yang ingin kami gunakan boleh dimuat turun daripada Play Store dan kemudiannya dilancarkan tanpa sebarang isu.
Dengan skrin yang memanjang serta besar, dua aplikasi boleh dilancarkan serentak dengan selesa. Kekuatan sebenar kami rasakan adalah apabila melayari web, membaca ebuku dan menjalankan permua. Skrin yang besar membuatkan proses membaca teks tidak menyakitkan mata. Dibantu dengan skrin yang mempunyai kadar segar semula yang tinggi.
Terdapat ciri memori maya tetapi tetapan hanya membenarkan ia diaktifkan sepanjang masa dengan 4GB. Dengan memori sekitar 12GB ini, tidak mengejutkan mengapa peranti terasa lancar sepanjang ulasan. Yang aneh hanyalah kenapa ia tidak boleh diubah atau dimatikan jika tidak ingin digunakan oleh pemilik.
PENANDA ARAS
Berikut adalah markah ujian penanda aras yang sempat kami lakukan. Hanya Geekbench 6 dan 3D Mark Wildlife Extreme sahaja dapat dilakukan kerana kami gagal memasang Antutu 3D. Berdasarkan skor MediaTek Helio G99 sah bukan sebuah cip yang berkuasa. Tetapi seperti kami katakan di atas tadi, pengalaman penggunaan Pad 2 adalah memuaskan. Tiada isu sela masa atau aplikasi popular tidak boleh dipasang.
Kami bandingkan Realme Pad 2 dengan Tecno Pova5 4G (Helio G99), Realme 10 4G (Helio G99), Samsung Galaxy M14 5G (Exynos 1330), dan Oppo A98 5G (Snapdragon 695)
Antutu 3D Benchmark
- Realme Pad 2 – N/A
- Tecno Pova5 4G – 406,217
- Realme 10 4G – 398,203
- Samsung Galaxy M14 5G – 454,662
- Oppo A98 5G – 411,010
Geekbench6
- Realme Pad 2 – 723/1967
- Tecno Pova 5 4G – 737/2005
- Realme 10 4G – 572/1743
- Samsung Galaxy M14 5G – 924/2129
- Oppo A98 5G – 885/2034
WildLife Extreme
- Realme Pad 2 – 1354
- Tecno Pova 5 4G – 1,263
- Realme 10 4G – N/A
- Samsung Galaxy M14 5G – 1388
- Oppo A98 5G – 1212
Aplikasi TikTok, YouTube, Netflix, X, Facebook dan Prime Video semua boleh dijalankan dengan baik. Pada YouTube video 2K juga boleh distrim dengan lancar tanpa tersekat-sekat. Permua seperti COD Mobile dan PUBG Mobile juga boleh dimainkan dengan lancar pada tetapan sederhana. Ini kami rasakan realistik kerana hanya cip mercu seperti Snapdragon 8 Gen 2 atau Dimensity 9100 boleh memainkan dua permua ini pada tetapan grafik tertinggi. Kerana tubuh Pad 2 yang besar, kami tidak menyedari sebarang isu pemanasan selepas sesi atas talian yang lama.
TELEFONI
Peranti yang diulas sekadar menyokong rangkaian 4G sahaja di Malaysia. Kelajuan internet adalah memuaskan dan begitu juga dengan kelajuan WiFi yang menyokong sehingga WiFi 5 GHz. Kami boleh menstrim kandungan 2K dengan lancar. Tiadanya sokongan WiFi 6E bukanlah isu yang besar kerana Realme Pad 2 ialah sebuah tablet kelas permulaan sahaja.
KAMERA
Kamera sekadar 8MP di belakang dan 5MP di hadapan. Dengan saiz sensor yang kecil serta lensa yang tidak pantas kemampuan fotografi tablet ini adalah tidak memuaskan langsung. Dalam situasi pencahayaan yang baik gambar masih tidak cukup tajam. Nampak seperti gambar yang diambil menggunakan sebuah telefon sekitar lapan tahun yang lalu.
Apabila keadaan cahaya semakin berkurangan, kualiti gambar yang diambil menjadi semakin mengecewakan. Lihat sahaja gambar yang diambil dalam bilik yang gelap di bawah. Bukan sahaja imej nampak lembut tetapi kesan hingar juga dapat dilihat di latar belakang. Kamera juga mempunyai masalah memfokus subjek.
Kamera swafoto seperti kamera utama hanya boleh mengambil gambar yang sekadar OK dalam situasi pencahayaan yang baik tetapi itupun kelihatan lembut. Pendek kata prestasi kamera pada tablet ini tidak membolehkan ia dikongsi terus ke media sosial tanpa sedikit suntingan terlebih dahulu.
BATERI
Bateri yang diberikan berkapasiti 8360 mAh dan menyokong pengecasan berwayar 33W yang disertakan dalam kotak. Secara keseluruhan peranti boleh beroperasi sehingga tiga hari atau SOT sekitar 12 jam pada penggunaan sederhana. Ini kami rasakan adalah memuaskan untuk sebuah tablet kelas pertengahan. Waktu pengecasan semula bateri adalah sekitar 2.5 jam.
AUDIO
Empat speaker dibekalkan dengan sistem audio pula menyokong Dolby Atmos. Jangan terpedaya kerana Atmos hanya boleh digunakan jika peranti disambungkan kepada aksesori audio sahaja. Kami kurang gemar apabila sistem Atmos tidak boleh digunakan pada speaker fizikal. Prestasi audio adalah baik-baik sahaja. Lantang dan jelas pada tetapan tinggi tetapi tidak akan membuatkan anda teruja ketika menonton filem misalnya.
DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.
- 1x Realme Pad 2
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Pengecas 33W dua pin.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.
KESIMPULAN
Bagi yang mencari tablet mampu milik yang menawarkan kualiti binaan yang baik, prestasi bateri memuaskan serta mempunyai pemproses yang boleh menjalankan pelbagai aplikasi tanpa isu kami boleh sarankan Realme Pad 2 kepada anda. Ia cukup berkuasa untuk keperluan harian dan mereka yang turut mencari sebuah tablet yang boleh digunakan sebagai skrin kedua bagi menonton media di rumah.
Sangat serasi dibelikan untuk anak yang masih belum mampu menilai tablet yang digunakan adalah mahal ataupun tidak. Tak perlu berbelanja besar untuk mempunyai tablet yang memuaskan sekarang. Ia mungkin kurang berkuasa tetapi masih berguna. Di Malaysia Realme Pad 2 dijual pada harga RM1299 untuk 6/128GB dan RM1499 untuk 8/256GB.
Pro
- Rekaan kemas dan saiz cukup besar.
- Skrin cantik dengan resolusi tinggi serta 120Hz.
- Saiz bateri yang besar hayat bateri memuaskan.
- Berfungsi lancar walau dengan pemproses kelas permulaan.
Kontra
- Kamera tidak memuaskan.
- Tiada pengimbas cap jari.
- Tiada stilus.