Vivo V29e telah diumumkan secara rasminya di India hari ini, sekaligus melengkapkan lagi segmen produk berkenaan. Antara hal menarik yang diketengahkan termasuklah panel belakang peranti yang boleh berubah warna khususnya untuk variasi Artistic Red.

Panel kaca yang digunakan boleh berubah diantara warna merah dan hitam apabila terdapat cahaya yang dipantulkan. Turut disertakan adalah motif berbentuk berlian yang melengkapkan lagi kemasan itu sendiri. Sebagai pilihan peranti juga disediakan dalam variasi serba biru yang dipanggil sebagai Artistic Blue, namun tidak boleh berubah warna.

Seterusnya peranti juga dilengkapi dengan skrin AMOLED 6.78-inci FHD+ yang menyokong kadar segar semula 120Hz. Ini dipadankan dengan cip Snapdragon 695, memori 8GB RAM dan storan dalaman mencapai 256GB untuk tunjang utama. Bateri pula sebesar 5,000mAh dan menyokong pengecasan pantas 44W.

Melengkapi peranti juga kamera utama 64MP OIS yang juga dilengkapi sensor 8MP untuk kebolehan ultra-lebar. Kamera swafoto pula sebesar 50MP yang diletakkan di dalam lubang kecil di skrin hadapan. Lain-lain spesifikasi termasuk pengimbas cap jari pada skrin, rangkaian 5G, bluetooth 5.1 dan menjalankan FunTouchOS 13.

Peranti ini dijual di India bermula ₹26,999.00 (~RM1,519) (8GB/128GB) dan ₹28,999.00 (~RM1,632) (8GB/256GB). Tiada maklumat lanjut mengenai ketersediaan di Malaysia yang diketahui buat masa ini.