Realme GT5 diumumkan secara rasminya di China sebentar tadi, sekaligus menjadi satu lagi pilihan peranti dengan memori besar 24GB RAM. Ia juga dipasarkan sebagai sebuah peranti berspesifikasi kelas mercu menerusi ciri dan fungsi yang diberikan.
Antara hal menarik yang diketengahkan termasuklah panel belakang peranti yang diiklankan lengkap dengan ‘kaca ajaib’. Pada dasarnya ia dikatakan inovasi yang dibangunkan Realme yang cuba mengubah industri pembuatan kaca untuk telefon pintar. Turut difahamkan bahawa proses pembuatannya mengambil masa hampir lima belas bulan yang juga merangkumi proses penyelidikan dan pembangunan.
Hal menarik seterusnya adalah sokongan lampu RGB terbina pada panel belakang peranti. Ia boleh ditemui bersebelahan modul kamera dengan pilihan sehingga 26 warna yang boleh dikostumasi. Peranti juga boleh didapati dalam dua pilihan kapasiti bateri seperti 4,600mAh yang menyokong sistem pengecasan pantas 240W, sementara itu satu lagi model dengan bateri 5,240mAh yang dilengkapi pengecasan pantas 150W.
Selanjutnya skrin pula sebesar 6.74-inci FHD+ dengan kadar segar semula 144Hz. Ia juga menyokong teknologi Pro XDR yang menurut Realme membolehkan kandungan skrin kelihatan lebih terang dengan warna yang cantik. Ini dipadankan juga dengan cip Snapdragon 8 Gen 2, memori sehingga 24GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman mencapai 1TB UFS 4.0 untuk tunjang utama peranti.
Kamera utama pula terdiri dengan sensor 50MP Sony IMX890 yang menyokong OIS terbina. Kemudian diikuti pula dengan sensor 8MP untuk sudut lebar dan 2MP untuk makro. Kamera hadapan pula sebesar 16MP yang diletakkan pada lubang kecil di skrin hadapan. Peranti juga memuatkan sistem pembesar suara stereo yang juga ditala dengan HiRes Audio/Dolby Atmos.
Harga jualan bermula RMB2,999 (~RM1,913) (12GB/256GB) dan RMB3,299 (~RM2,104) (16GB/512GB) untuk model dengan pengecasan 150W. Kemudian meningkat kepada RMB2,999 (~RM1,913) (12GB/256GB), RMB3,299 (~RM2,104) (16GB/512GB) dan RMB3,799 (~RM2,423) (24GB/1TB) untuk model dengan pengecasan 240W.