Carian
Ulasan ASUS ZenScreen MB249C – Monitor Mudah Alih Yang Tak Begitu Mudah Alih
October 16, 2023 Fahim Zahar

Selepas menguji PRISM+ Nomad Ultra 16 saya semakin tertarik dengan skrin komputer mudah alih. Bulan ini saya menguji pula ASUS ZenScreen MB249C pula iaitu monitor mudah alih yang tidak begitu mudah. Kenapa saya katakan begini? Artikel ulasan saya akan terangkan maksudnya dan ia mungkin membantu anda dalam keputusan membeli monitor dalam format begini.


Spesifikasi dan Rekaan

Skrin23.8″ IPS LED, FHD
16:9, 75Hz, Anti Silau
5ms GTG
Sokongan Warna16.7 juta warna
SPLENDID, GamePlus, QuickFit
Nisbah Kontras1000:1
Kecerahan250 cd/㎡
Sokongan Paparan AdaptifAdaptive Sync
Cagak1x Pemegang kapit-C
1x Besi untuk gantung
1x Kaki terbina di belakang
I/O1x USB-C (DP Alt Mode + PD 60W)
1x HDMI 1.4
1x Bicu audio 3.5mm
AudioStereo 2x 1W
Kamera WebTiada
HargaRM 1,900

ZenScreen MB249C adalah monitor mudah alih yang agak besar dengan skrin 23.8″ panel IPS LED beresolusi 1080p yang menyokong kadar segar semula adaptif 75Hz, teknologi warna SPLENDID Asus dan kecerahan yang terhad kepada 250 cd/㎡. Asus turut menyatakan yang monitor ini menggunakan lapisan anti silau dan bebas berkelip.

Monitor mudah alih Asus ZenScreen ini menggunakan rekaan yang cukup ringkas. Ia mempunyai kaki di belakang untuk berdiri dengan sendiri dan turut boleh menjadi pemegang. Di bahagian dagu ada speaker dan palang plastik lutsinar yang menjadikan monitor ini kelihatan lebih premium. Bezel dahi dan setiap sisi cukup nipis yang memberikan saya akses kepada pemandangan yang lebih imersif.

Di sisi kanan terdapat tiga port sahaja iaitu 1x HDMI 1.4, 1x USB-C (yang boleh menjadi pengecas PD 60W atau sambungan ke peranti lain dan juga port pengecas khas. Harus ditegaskan walaupun terdapat port USB-C yang menyokong PD, ZenScreen MB249C hanya boleh dihidupkan menggunakan palam kuasa yang disertakan.

Di kiri pula terdapat butang kuasa, butang aras suara dan butang menu yang sedap ditekan dan mudah untuk digunakan. Satu lubang kunci Kensington turut disediakan. Lokasi port adalah mudah diakses dalam majoriti situasi.

Pengalaman Penggunaan

Dalam penggunaan saya selama satu bulan, saya boleh katakan pancaran cahaya matahari yang menembusi tingkap pejabat langsung tidak mengganggu kandungan yang dipaparkan pada skrin. Monitor amat sesuai untuk kerja-kerja menulis artikel kerana tidak menyebabkan silau dan ini membuatkan mata saya selesa untuk penggunaan jangka masa panjang. Sehari bekerja 8 jam, mata saya tidak begitu penat berbanding menggunakan monitor lain.

Untuk warna ia agak menarik dan tajam, cuma saya kurang menggemarinya kerana ciri anti cahaya biru yang menyebabkan skrin kelihatan kekuningan yang mengganggu kerja-kerja suntingan gambar. Kecerahan 250 cd/㎡ juga di mata saya tidak mencukupi untuk memberikan pengalaman yang memuaskan berbanding menggunakan Nomad Ultra 16. Ini turut bermakna ia tidak cukup cerah untuk memaparkan kandungan HDR sebenar.

Disamping itu bagi golongan gamer, ZenScreen MB249C tidak mempunyai sokongan NVIDIA GSync atau AMD FreeSync secara rasmi dan sekadar menyokong Adaptive Sync. Bagi mereka yang inginkan sebuah monitor gaming mudah alih kekecewaan diteruskan lagu kerana HMDI 1.4 sahaja disokong maka tiada sokongan gaming 120FPS yang kini disokong pada PC dan konsol moden.

Apa yang paling saya suka dengan monitor ini adalah ia datang sekali bersama-sama dengan pengepit merangkap pemegangan monitor yang boleh boleh disambungkan ke meja. Pengepit dengan pemegang monitor ini turut boleh memutarkan monitor mudah alih ini ke posisi menegak yang memberi saya keselesaan melihat kandungan video menegak seperti TikTok. Cuma kabel akan menjadi berserabut dan terjuntai seperti yang anda boleh lihat di dalam gambar di atas.

Bercakap mengenai kabel, ia juga adalah punca kenapa saya katakan ZenScreen MB249C monitor mudah alih yang tak begitu mudah alih. Ia tidak mempunyai bateri terbina dan bergantung sepenuhnya kepada palam bongkah kuasa yang agak berat. Ini juga menjadi antara sebab kenapa saya tidak menguji monitor ini dengan Nintendo Switch. Port yang tidak banyak, kabel tidak boleh diurus dan bergantung kepada palam kuasa pada hemat saya menyebabkan ia lebih mirip sebuah monitor komputer besa dan bukannya mudah alih seperti bagaimana ia dipasarkan.

Pemegang yang terbina pada pengapit ini sedikit ketat dan jari boleh tersepit secara tidak sengaja. Kapit ini akan menjadi lebih bagus jika Asus menyediakan sekali tempat menyusun/menyorokkan kabel. Saya turut mendapati menggunakan monitor ini secara menegak menjimatkan lagi ruang di meja lagi-lagi jika diletakkan di dalam bilik yang kecil.

Kaki terbina pada ZenScreen MB249C turut agak ketat sehingga sukar untuk diubah ke sudut yang sesuai dengan pandangan saya. Ia ketat kerana kaki ini turut menjadi pemegang apabila ingin dipindahkan dari satu tempat ke tempat yang lain.

Mod unik yang saya tidak pernah nampak pada monitor kategori sama pesaing adalah Asus menyediakan cangkuk untuk dipasang pada mana-mana papan yang nipis untuk menggantungkannya. Saya sangkut di rak dan menonton video YouTube untuk pengalaman seakan pawagam mini.

Namun begitu apabila dicangkuk saya kerap kali agak risau kerana takuk bahagian ia dicangkuk yang tertanggal kerana monitor ini seberat 2.8 kilogram. Jika terjatuh kebarangkalian ia pecah berderai adalah tinggi kerana ZenScreen MB249C tidak melepasi sebarang piawaian MIL-STD 810G.

Audio

Ketika saya sedang menulis bahagian ini, saya tersengih. Speaker terbina hanyalah dua pemandu audio 1W yang sangat kecil dan sangat comel. Bunyi yang dihasilkan sangat perlahan dan tidak mempunyai dinamik serta tidak memberikan pengalaman pendengaran yang memuaskan. Apa gunanya terdapat speaker jika audio yang ditawarkan langsung tidak memuaskan sehingga seperti sekadar memakan ruang?

Apa Ada Dalam Kotak?

Dalam setiap pembelian, anda akan menerima seperti berikut;

  • 1x ASUS ZenScreen MB249C
  • 1x Pengapit-C
  • 1x Kabel HDMI
  • 1x pemutar skru-L
  • 1x Cangkuk
  • 1x Set palam kuasa
  • 1x Kabel USB-C
  • 1x Kad jaminan

Kesimpulan

Dengan beberapa tablet Android sudah boleh menjadi skrin kedua, iPad menyokong Sidecar dengan Mac dan monitor mudah alih PRISM+ dengan skrin OLED pada harga lebih kurang sama – ASUS ZenScreen MB249C ini sebenarnya agak mahal dan ketinggalan jauh. Menurut wakil Asus Malaysia, ZenScreen ini lebih kepada monitor biasa yang boleh dibawa ke mana sahaja berbanding menjadi sebuah monitor mudah alih sebenar.

Harga lebih mahal ini adalah kerana ZenScreen menggunakan teknologi warna SPLENDID yang dibangunkan Asus sendiri. Warna yang bagus tetapi kerana mempunyai lapisan mengurangkan cahaya biru seakan True Tone, hasil warna terlampau kekuningan menyebabkan monitor ini tidak sesuai untuk penyunting foto dan video. Ia lebih kepada untuk menulis, menggunakan sambungan DEX atau membaca sahaja.

Selepas menguji beberapa monitor mudah alih, saya masih katakan PRISM+ Nomad Ultra 16 dengan skrin OLED adalah yang terbaik. Malah sehingga hari ini ia masih menjadi monitor harian saya. Harapnya dengan artikel ini ia membantu anda membuat keputusan monitor mudah alih mana yang anda patut beli.


Pro

  • Skrin IPS yang sangat baik untuk menulis dan membaca.
  • Butang yang mudah ditekan dengan menu tetapan yang mesra pengguna.
  • Hadir dengan pengapit-C, cangkuk dan kabel USB-C PD.
  • Menyokong pengecasan peranti USB-C sehingga 60W.

Kontra

  • Rekaan monitor mudah alih yang tak begitu mudah alih.
  • Agak berat dan sukar di bawa ke mana sahaja.
  • Harga jualan yang lebih mahal berbanding pesaing yang lebih baik.
Komen