Dalam diam tiba-tiba Huawei Mate60 Pro didapati telah rasmi di China hari ini. Agak mengejutkan kerana Huawei sendiri langsung tidak mengacah mengenai kehadirannya secara rasmi, malahan hanya memaklumkan peranti sedia dibeli di China bermula hari ini.
Dari aspek rekaan ia menunjukkan rekaan yang serupa dengan imej tertiris sebelum. Gabungan tubuh melengkung bersama panel belakang dengan dwi-tona warna digunakankan. Turut melengkapinya adalah bonggol kamera agak besar seumpama yang digunakan pada Mate40 sebelum ini. Sebanyak tiga kamera ditempatkan padanya berserta sebuah LED Flash.
Seterusnya skrin pula sejenis OLED LTPO sebesar 6.82-inci FHD+ dan menyokong kadar segar semula 120Hz. Butiran mengenai cip pemrosesan masih menjadi tanda tanya, memandangkan semakan menerusi laman rasmi turut dinyatakan secara khusus. Namun gabungan memori disertakan adalah sebesar 12GB RAM dan storan dalaman mencapai 1TB.
Turut disertakan adalah kamera utama 50MP dengan bukaan apertur boleh diubah diantara F1.4-F4.0 dan OIS. Kemudiannya diikuti juga dengan sensor 8MP ultra-lebar dan 48MP OIS untuk kebolehan telefoto + makro. Sistem kamera ini menggunakan sistem XMAGE buatan Huawei sendiri yang juga menawarkan zum optikal sehingga 3.5X dan 100X digital. Kebolehan rakaman video pula sehingga 4K.
Bateri 5,000mAh disertakan menyokong sistem pengecasan berwayar 88W, nirwayar 50W dan berbalik 20W. Lain-lain spesifikasi termasuklah kalis air IP68, port USB Type-C/ USB 3.1 Gen 1, Wi-Fi 5/Wi-Fi 6, bluetooth 5.2, NFC, Panggilan Satelit dan GPS. Hanya satu harga disenaraikan buat masa ini iaitu RMB6999 (~RM4,461) untuk variasi 12GB/512GB.