Oppo China hari ini telah melancarkan telefon flip baharu mereka iaitu Oppo Find N3 Flip. Peranti ini disahkan akan dilancarkan ke pasaran global dan akan bersaing dengan Galaxy Z Flip5 serta Razr 40 Ultra. Peranti ini turut dilihat mengambil beberapa elemen OnePlus.

Oppo Find N3 Flip hadir dengan skrin dalam OLED 6.8″ jenis LTPO 1Hz-120Hz beresolusi 2520 × 1080 piksel, skrin luar yang sama iaitu 3.26″ OLED 60Hz. Skrin dalam menggunakan kaca ultra nipis SCHOTT UTG. Cip peranti adalah Dimensity 9200 yang dipadankan dengan memori 12GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman sehingga 512GB UFS 4.0.

Find N3 Flip turut menjadi telefon lipat pertama dengan tri-kamera dan kedua yang bekerjasama bersama syarikat kamera (pertama Vivo X Flip) iaitu Hasselblad. Kamera utama menggabungkan sensor 50MP f/1.8, OIS + 32MP f/2.0 telefoto, 2x optikal zum + 48MP f/2.2, makro 4sm dan kamera swafoto 32MP.
Bateri peranti adalah jenis dwi-sel 4303 mAh dengan pengecasan pantas 44W SuperVOOC serta turut menyokong pengecasan PD 18W. Untuk Biometri N3 Flip masih menggunakan pengimbas cap jari di sisi seperti N2 Flip.

Untuk rekaan, N3 Flip masih lagi sama seperti N2 Flip dengan beza utama pada bonggol kamera dan cip dalaman sahaja. Oppo turut menambah butang luncur notifikasi yang sama pada OnePlus. Di China hanya dua variasi ditawarkan iaitu 12/256 GB pada harga RMB 6,799 (~RM4330) dan 12/512 GB pada harga RMB 7599 (~RM4842) dengan pilihan warna Moonlight Muse, Mist rose dan Night in the Mirror.