Siapa di sini gemar menyertai mesyuarat telesidang? Kami dapat satu atau dua tangan sahaja kerana pasca pandemik ramai merasakan pertemuan secara atas talian adalah kurang menarik. Bagi mereka yang kurang gemar menyertai sesi telesidang, Google Meet kini hadir dengan sokongan kecerdasan buatan (AI) Duet AI yang bukan sahaja boleh mengambil nota secara automatik tetapi menjadi pengganti diri jika anda tidak sempat menghadiri mesyuarat secara atas talian.

Duet AI boleh mengambil nota mesyuarat ketika ia sedang berlangsung. Dengan ini maklumat-maklumat penting yang dibincangkan boleh dikongsi kepada semua pasca mesyuarat. Seperkara lagi sekiranya anda terlewat menyertai mesyuarat pula, anda boleh meminta Duet AI untuk memberikan senarai apakah tajuk yang telah dibincangkan supaya anda tidak ketinggalan.
Bagi mereka yang perlu melakukan pembentangan dalam mesyuarat pula, Duet AI boleh diberikan arahan untuk menghasilkan slaid berdasarkan dokumen yang disimpan dalam Google Drive dan Gmail peribadi. Ini kemudiannya boleh dikongsi dalam sesi Google Meet.

Terdapat juga ciri Duet AI menjadi pengganti diri jika tidak mampu menghadiri mesyuarat. Tetapi pada waktu ini Google tidak pula memberikan contoh bagaimana ia akan dilakukan. Sama ada ia menggunakan avatar wajah anda atau sekadar hadir dan mengambil nota sahaja.
Akhir sekali Google Meet juga boleh memaparkan sari kata secara masa nyata dalam 18. Pengguna boleh terus mengarahkan Duet AI untuk meterjemahkannya ke bahasa yang difahami juga secara masa nyata. Duet AI for Google Workspace boleh dicuba bermula hari ini kepada semua pengguna global secara percuma. Selepas tempoh percubaan bayaran $30 sebulan akan dikenakan untuk satu pengguna.
- Sumber