Jenama AORUS oleh GIGABYTE cukup terkenal untuk siri komponen komputer, pilihan komputer riba gaming dan juga pelbagai perkakasan komputer yang lain.
Terkini, jenama tersebut dilihat telah memperkenalkan SSD terbaru mereka yang dinamakan AORUS Gen5 12000, iaitu sebuah SSD PCIe 5.0 bersaiz M.2 2280 yang hadir dengan bongkah penyejukan untuk memastikan bahawa storan ini sentiasa beroperasi dalam keadaan optimum.

Buat masa ini, SSD ini dilihat hadir dengan satu penawaran storan sahaja, iaitu 2TB, tetapi ia mempunyai kadar pembacaan dan penulisan data 12GB/s dan 11GB/s. SSD ini menggunakan pengawal SSD Phison PS5026-E26 dan cip memori 3D-TLC NAND yang ditindih sebanyak 232 lapis dan juga memori LPDDR4 sebanyak 4GB terbina sebagai cache untuk tujuan akses data yang lebih pantas.

Bukan itu sahaja, storan SSD AORUS Gen5 12000 ini juga menyokong sistem DirectStorage yang membolehkan SSD ini mencapai kelajuan yang tinggi tetapi menggunakan kuasa CPU yang rendah.

SSD PCIe 5.0 dilihat hadir dengan prestasi yang pantas, tetapi satu isu umum ialah ia sentiasa beroperasi pada suhu yang tinggi, jadi ia tampil dengan penyejuk Thermal Guard Extreme diberi, yang mana ia akan meningkatkan saiz SSD ini dan juga menjadikannya sedikit lebih berat, tetapi akan memastikan bahawa SSD ini tidak akan menjadi terlalu panas.
Buat masa ini, GIGABYTE masih belum mengesahkan lagi bilakah mereka akan mula menjual storan ini, dan juga tanda harganya.
- Sumber
- GIGABYTE