Carian
USM Dan StarFive Bekerjasama Untuk Membangunkan Teknologi Ekosistem RISC-V
August 30, 2023 Nazrin

RISC-V (disebut Risk 5) ataupun Reduced Instruction Set Computer V ialah sebuah set arahan sumber terbuka yang dibangunkan berdasarkan piawaian RISC sedia ada untuk membangunkan cip pemprosesan, dan sedang dibangunkan dengan pesat dengan bantuan oleh syarikat-syarikat teknologi gergasi seperti Qualcomm, Robert Bosch, Infineon dan Nordic Semiconductors.

Terkini, Universiti Sains Malaysia, melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) dan telah menandatangani memorandum persetujuan untuk membangunkan teknologi RISC-V selama tiga tahun.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada StarFive Technology atas peluang yang diberikan, dan bersama-sama kita ke hadapan dalam memacu ekosistem RISC-V; pada masa yang sama, PPKEE juga akan meningkatkan kesedaran, memupuk bakat dan budaya inovasi yang berkaitan dengan RISC-V.” ucap Dekan PPKEE, Profesor Ir. Ts. Dr. Shahrel Azmin Bin Sundi @ Suandi.

Kedua-dua entiti ini akan membangunkan sistem pengawal (controller) berasaskan RISC-V, dan untuk ini, StarFive Technology telah membekalkan pihak PPKEE dengan dua puluh set komputer VisionFive 2, yang bukan sahaja merumahkan set cip pemprosesan RISC-V, tetapi juga dengan cip grafik terbina dengan keupayaan pemprosesan multimedia, kebolehskalaan, dan lain-lain.

Dari segi prestasi sahaja, teknologi cip pemprosesan RISC-V dilihat masih belum boleh setanding ARM dan X86 lagi, tetapi dari segi penggunaan didalam peranti berhubung dan juga sistem terbenam (embedded systems), RISC-V dilihat mempunyai potensi dari segi pembangunan kerana ia berasaskan sumber terbuka dan boleh dibangunkan mengikut spesifikasi dan keperluan syarikat.

DSC 0420

Dr. Shahrel mengatakan lagi “Kami telah mengguna pakai model sumber terbuka dalam mengatasi halangan paten seni bina tradisional seperti x86 dan ARM dan akhirnya mengurangkan jurang dalam membangunkan cip tersebut, menjadikannya sebagai produk bercekapan tinggi yang bukan sahaja rendah dari segi kos, tetapi juga dari segi kuasanya untuk pasaran IC.”

Komen