Cari @ Amanz

Fairphone adalah pengeluar peranti kelas pertengahan yang memfokuskan kebolehan membaiki sendiri dengan sokongan kemas kini perisian yang lama. Hari ini Fairphone 5 dilancarkan dengan skrin 6.46″ OLED FHD+ 90Hz, dijana cip Snapdragon 778G dengan memori 8GB, dan storan 256 GB serta sokongan mikro SD sehingga 2TB. Kamera belakang adalah 50+50 Megapixel dari Sony IMX800 dan IMX858 (sama seperti siri Xiaomi 13) dan kamera swafoto juga 50MP.

Peranti ini akan menjalankan sistem operasi Android 13, menyokong Bluetooth 5.2 LE, WiFi 6GHz, NFC, 5G, bateri 4200mAh dan pengecasan pantas 30W USB 3.0. Fairphone 5 turut hadir dengan perlindungan IP55 untuk kalis air dan debu.

Paling menarik, Fairphone 5 akan menyokong kemas kini sistem operasi selama 5 tahun dengan kemas kini tampalan sekuriti selama 8 tahun. Ini bermakna ia akan disokong sehingga tahun 2031 dan Fairphone dalam perancangan untuk cuba menyokongnya sehingga 2033. Jaminan walau bagaimanapun terhad kepada lima tahun sahaja tetapi segala komponen untuk baiki sendiri Fairphone akan menjualnya. Selepas habis digunakan, Fairphone turut menerima peranti ini untuk dikitar semula.

Fairphone 5 hadir dengan pilihan warna Sky Blue, Matte Black, atau panel belakang lutsinar. Harga jualan adalah €699 (~RM3,530) dan ia terhad di sekitar Eropah sahaja buat masa ini tanpa ada perancangan untuk jualan peringkat global.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd