YouTube mempunyai garis panduan yang perlu dipatuhi setiap pengguna dan pemilik saluran. Jika ia dilanggar, YouTube akan membuang video yang melanggar panduan dan amaran diberikan kepada akaun. Terkini YouTube memperkenalkan ciri baharu yang akan memberikan peluang kepada penerima amaran untuk mengikuti kelas atas talian bagi meringankan hukuman mereka.

Selepas amaran diterima mengenai video yang dimuat naik, video tersebut akan dipadam. Pemegang akaun diberikan pilihan menyertai kelas dalam bentuk video untuk mengetahui apakah kesalahan yang telah mereka lakukan menyebabkan amaran diterima. Mereka kemudiannya perlu menjaga kelakuan mereka selama 90 hari. Jika tiada kesalahan berulang, amaran yang diterima akan ditarik.
Jika kesalahan dilakukan semula dalam tempoh yang sama, mereka akan menerima satu “strike”. Sekiranya tiga “strike” diterima dalam masa 90 hari, akaun akan terus dipadam. Jika kesalahan berulang selepas 90 hari, pemilik akaun akan menerima sebuah lagi amaran dan perlu menghadiri semula kelas yang sama.
Dengan sistem ini YouTube berharap pemilik akaun akan memahami sebab video dibuang kerana penjelasan yang jelas diberikan. Ia juga membolehkan mereka belajar daripada kesilapan mereka dan tidak dihukum seumur hidup.