Carian
Sony Mengumumkan Dua Kamera Baharu Menerusi Alpha A7C II Dan Alpha A7CR
August 30, 2023 Amy Maizuraa

Sony telah hadir dengan dua kamera berbingkai-penuh baharu menerusi pengenalan Alpha A7C II dan Alpha A7CR. Kedua-dua dikatakan hadir dengan ciri terkini menarik selain turut menawarkan reka bentuk lebih padat dan ringan berbanding generasi sebelum ini.

Bermula dengan Sony Alpha 7C II, kamera ini dilengkapi sensor 33MP Exmor R CMOS bingkai penuh yang membolehkan rakaman gambar sehingga 10 bingkai sesaat dan video pula sehingga 4K/60FPS. Sensor yang digunakan ini dipadankan juga dengan cip pemprosesan imej Bionz XR untuk pengalaman pengimejan lebih baik. Sistem penstabilan lima paksi disertakan dalam tubuh pula bagi memastikan gambar dan video diambil kelihatan tajam.

Menerusi sensor ini, kamera turut boleh merakam video 4K/60p dalam format Super35, FHD sehingga 120p, menawarkan pensampelan warna 10-bit 4:2:2, serta menyokong HLG, S-Log3, S-Cinetone dan LUTs. Dalam masa sama ciri standard kamera Sony Alpha iaitu mod pemfokusan manusia, haiwan, wajah dan mata juga boleh dipilih.

Turut disertakan adalah sistem pemokusan PDAF sebanyak 759 titik disertakan, di samping sokongan julat ISO di antara 100 hingga 51200 untuk kedua-dua rakaman imej pegun dan video, bertujuan memudahkan penggambaran tanpa hingar meskipun dalam keadaan pencahayaan rendah.

Kamera juga mempunyai WiFi dwi-jalur, Bluetooth 4.2, port USB-C dan bateri boleh dicas semula NP-FZ100 yang disertakan. Dalam masa sama, Alpha 7C II juga dilengkapi butang khusus untuk rakaman video pada bahagian atas. Di samping EVF 1,036,800 titik dipadankan dengan skrin 3″ LCD sesentuh yang bebas diputarkan untuk rakaman swafoto/swavideo.

Bercakap mengenai Sony Alpha A7CR pula, kamera dilengkapi sensor 61MP dari keluarga Exmor R CMOS yang dipadankan dengan cip pemproses Bionz XR. Selain itu terdapat juga sistem penstabilan imej optikal 7 paksi memastikan imej yang ditangkap sentiasa jelas, seterusnya dibantu pula oleh sistem pemfokusan yang menggunakan kecerdasan buatan.

Turut disertakan adalah sistem pemokusan PDAF sebanyak 693 titik disertakan, di samping sokongan julat ISO di antara 100 hingga 32000 untuk kedua-dua imej pegun dan filem (dan boleh dilanjutkan hingga 102400 untuk imej pegun). Kemampuan rakam video pula adalah sehingga 4K/60p dengan oversampling 6.2K dalam format Super35 dan FHD pada 120p. Kamera juga mempunyai skrin LCD 3″ dengan EVF 1,036,800 titik yang bebas diputarkan

Sony Alpha 7C II dengan harga bermula USD2199.99 (~RM10,201) (kamera sahaja) dan USD2499.99 (~RM11,592) (berserta lensa 28-60mm). Sementara itu Sony Alpha A7CR pula berharga USD2999.99 (~RM13,910) (kamera sahaja).

Komen