Samsung hari ini membuat kejutan dan memperkenalkan sebuah aplikasi baharu, dinamakan sebagai Samsung Food. Seperti pada namanya, ia memfokuskan kepada makanan, dimana aplikasi ini menawarkan sejumlah resipi masakan yang boleh dicuba pengguna, selain juga perancangan makanan dalam mengamalkan gaya hidup sihat.

Samsung Food menggunakan pangkalan data Whisk – salah satu platform yang telah diambil-alih oleh Samsung pada 2019 lepas. Buat masa ini, aplikasi di Google Play Store masih dinamakan Whisk, dan bukannya Samsung Food.
Menggunakan aplikasi ini, ia akan meminta pengguna memilih jenis diet, serta makanan yang tidak mereka gemarkan – seterusnya menjana kandungan yang bersesuaian kepada pengguna berkenaan. Daripada percubaan kami, tiada pilihan makanan halal, tetapi pengguna boleh memilih untuk tidak memaparkan resipi atau kandungan makanan yang mengandungi alkohol.

Menggunakan aplikasi sama juga, pengguna boleh lakukan perancangan makanan mingguan, atau mencatatkan resipi untuk disimpan dan dirujuk – serta dikongsikan bersama yang lain. Sebuah bahagian khusus untuk menyenaraikan barangan yang perlu dibeli juga disediakan pada aplikasi ini.
Samsung turut menyatakan mereka akan mengintegrasikan Samsung Health bersama Samsung Food – sekaligus memudahkan lagi pengurusan diet seseorang pengguna.
Menjelang 2024, Samsung menyasarkan pengguna boleh menggunakan Samsung Food untuk merakamkan gambar – dan seterusnya ia akan memaparkan maklumat berkaitan dengannya, termasuk informasi nutrisi.
Bagi anda yang berminat, boleh menyemak laman Samsung Food, dan memuat-turun aplikasinya hari ini secara percuma.